KDCA Sokong Penuh Penggunaan Tanah Adat Diperluas, Tidak Terhad Kepada Pertanian

KDCA Sokong Penuh Penggunaan Tanah Adat Diperluas, Tidak Terhad Kepada Pertanian

0
SHARE

PENAMPANG, SABAH – Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) menyokong saranan syarat penggunaan tanah yang berstatus tanah adat atau ‘native title’ diperluaskan untuk aktiviti berkaitan perindustrian, pembangunan perumahan dan tidak terhad kepada pertanian sahaja.

Kenyataan bertarikh 11 Februari terbabit telah dikeluarkan oleh Menteri Pertanian dan Perikanan Negeri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dimana beliau turut mempersetujui perkara terbabit, baru-baru ini.

Setiausaha Agung KDCA, Datuk Suman Yasambun berkata, kenyataan Jeffrey terhadap perkara ini adalah bertepatan dan amat dialu-alukan.

“Kerana jika ini direalisasikan, ia akan memberi manfaat terutamanya kepada semua Anak Negeri (native) di Sabah.

“Dengan ini KDCA menyokong penuh kenyataan beliau dan berharap ianya dapat direalisasikan.

“KDCA percaya bahawa kerajaan boleh mencari kaedah-kaedah yang sesuai untuk memastikan status ‘native title’ tidak terjejas dengan perluasan pengunaan tanah tersebut seperti untuk aktiviti komersial,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Dalam pada itu, Suman berkata, tanah merupakan satu aset yang tidak ternilai harganya bagi Anak Negeri kerana ianya adalah sinonim dengan identiti mereka sebagai orang asal negeri ini.

“Tanah adat juga merupakan satu legasi nenek-moyang orang-orang asal negeri ini yang akan diwarisi dari generasi ke generasi seterusnya.

“Sejak kebelakangan ini banyak tanah NT telah ditukar status kepada ‘country lease’ (CL), terutamanya di kawasan bandar.

“Perkembangan ini amat membimbangkan kerana ini akan mengakibatkan tanah berstatus NT berkurangan dan mengancam pemilikan tanah Anak Negeri.

“Oleh itu, KDCA bersedia untuk bekerjasama dengan pihak Kerajaan dan memberi bantuan yang perlu ke arah merealisasikan hasrat yang murni ini,” katanya.