
MEMBAKUT, SABAH – Kerajaan negeri Sabah tidak menghalang mana-mana penceramah agama yang ingin menyampaikan ceramah agama di negeri ini.
Walau bagaimanapun, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Exco Pendidikan dan Hal Ehwal Agama Islam negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata terdapat prosedur yang perlu dipatuhi dimana syarat wajib seorang penceramah perlu mempunyai tauliah.
“Di Sabah prosedurnya juga sedemikian, tatacaranya juga perlu. Apabila kita hendak mengadakan kunjungan ke Sabah untuk membuat program khususnya ceramah dan lain-lain mesti mendapat tauliah daripada Pejabat Mufti Negeri Sabah.
“Ini biasanya dilakukan di seluruh negeri di Malaysia kerana ini termasuk dalam Enakmen yang ada dalam Enakmen Majlis Agama Islam masing-masing.
“Demikian juga untuk mengajar agama misalnya guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) dan guru-guru agama yang lain .. perlu mempunyai tauliah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi penyerahan sumbangan Program Bingkisan Ramadan di kediamannya, di sini, semalam.
Di samping itu, Mohd Arifin turut menegaskan tiada mana-mana pihak yang terkecuali daripada peraturan terbabit.
“Saya sendiri ada mendapat tauliah mengajar, berceramah dan berkhutbah.
“Ini contoh kepada semua bahawa tiada pihak yang terkecuali daripada peraturan untuk mendapat tauliah, demi kebaikan bersama sekaligus mengelak dari perkara di luar landas agama,” katanya.





