Bapa Korbankan Diri Demi Menyelamatkan Anak Dari Lemas Di Putatan

Bapa Korbankan Diri Demi Menyelamatkan Anak Dari Lemas Di Putatan

0
SHARE
Bomba
Operasi mencari mayat Lasibi Lawadihu yang lemas di tepi sungai Jalan Imbaan Sailan pagi tadi ( Sumber Foto: Ihsan JBPM Sabah )

PUTATAN, SABAH – Seorang lelaki sempat menyelamatkan anaknya yang hampir lemas apabila kereta Perodua Myvi yang sedang berparkir di tepi sungai Jalan Imbaan Sailan di sini tiba-tiba menggelongsor ke dalam air ketika beliau sedang memancing.

Walau bagaimapun, mangsa Lasibi Lawadihu, 40, ditemukan pada jam 9.15 pagi tadi pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.

Penemuan itu dibantu hasil imej dron milik Pasukan Gerakan Udara Polis kira-kira 15 jam selepas insiden.

Difahamkan, anaknya mangsa yang berusia 5 tahun berada di dalam kenderaan terbabit dalam kejadian kira-kira 5.50 petang semalam.

Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Penampang, Rony Sikawan berkata, mangsa berjaya mengeluarkan anaknya dari kenderaan dengan bantuan orang awam berhampiran yang membawanya ke tebing sungai.

“Namun beliau sendiri tidak sempat keluar dari sungai. Apabila orang awam berkenaan menoleh semula ke belakang, mangsa telah pun hilang,” katanya kepada wartawan.

Rony berpendapat mangsa mungkin menghabiskan kesemua tenaganya demi menyelamatkan anak beliau sehingga tidak mampu menyelamatkan diri sendiri lagi.

Dalam pada itu, kereta berwarna kelabu yang tergelongsor ke dalam sungai itu telah berjaya dikeluarkan.