KOTA KINABALU, SABAH – Enam suspek diepercayai dalang di sebalik sindiket pemalsuan permit masuk diberkas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menerusi dua serbuan berasingan di sekitar daerah ini.
Ops Serkap, yang dijalankan pada Rabu (29 Mac) di Kampung Sembulan Lama pada 10.30 malam berjaya menangkap tiga lelaki dan dua wanita berusia 24 hingga 52 tahun.
Pengarah JIM Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof berkata, 28 keping permit masuk, 16 keping surat arahan pembayaran permit masuk dan 15 keping resit pembayaran permit masuk kesemuanya disyaki palsu berjaya dirampas selain wang tunai berjumlah RM2,268.
“Susulan serbuan itu, anggota dan pegawai JIM Sabah berjaya menahan seorang lagi wanita di kawasan Riverside, Sembulan pada jam satu petang, pada Khamis semalam.
“Suspek berusia 59 tahun itu memiliki 18 resit pembayaran pendaftaran kad pengenalan MyKad yang disyaki palsu dan wang tunai sebanyak RM744,” katanya.
Tangkapan kedua itu membawa kepada penggeledahan sebuah rumah di Kuala Menggatal yang menemui lapan resit rasmi pembayaran JIM dan surat arahan pembayaran permit masuk.
“15 borang permohonan kad pengenalan lengkap dengan gambar dan cap jari serta dua keping borang permohonan kad pengenalan turut dirampas,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media hari ini.
Sitti berkata pihaknya masih mengesan seorang lagi suspek yang berada di luar Sabah.
Tambahnya, modus operandi sindiket itu adalah menawarkan bayaran secara berperingkat bermula dari RM100 hingga RM800 bagi memperoleh permit masuk kepada warga asing.
“Sindiket disyaki beroperasi sejak April tahun lalu dan dipercayai telah mengaut keuntungan sekitar RM60,000 hingga RM100,000,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 55D dan Seksyen 56 (1)(I) Akta Imigresen 1959/63.





