KOTA BELUD, SABAH – Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah giat memasarkan maklumat kerajaan kepada penduduk luar bandar.
Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Supian Musa berkata menerusi program taklimat isu semasa, penduduk di kawasan pedalaman yang tidak diliputi jalur lebar sekurang-kurangnya mempunyai peluang mendapat maklumat kerajaan sama ada berkaitan isu semasa, kemudahan dan bantuan yang disediakan dan dasar-dasar kerajaan.
“Program taklimat isu semasa dan Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) hari ini berjaya mencapai matlamatnya.
“Walaupun program berskala kecil, namun memberi impak yang besar kepada penduduk di sekitar daerah ini terutama berkenaan isu semasa, kemudahan disedia oleh kerajaan dan sebagainya.
“Para peserta yang hadir tetap fokus dan kekal di kerusi masing-masing sehingga tamat program, ini menunjukkan mereka benar-benar mahu mendengar dan mengambil maklumat dari program ini.
“Oleh itu, saya ingin mengingatkan masyarakat agar sentiasa memastikan maklumat yang diterima dan ingin disampaikan sahih dan tepat,” jelasnya ketika berucap merasmikan Program Taklimat Isu Semasa dan JIWA Peringkat Daerah Kota Belud di Kampung Piasau dekat sini.
Dihadiri lebih 100 orang, majlis anjuran Pejabat Penerangan Daerah Kota Belud itu menampilkan dua penceramah iaitu Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Belud, Inspektor Azman Hussin dan Penyelia Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Belud, Suffian Aban masing-masing dengan ceramah jenayah komersil dan pencegahan kebakaran di rumah. — JABATAN PENERANGAN SABAH





