Jalur Gemilang Gergasi Dari 500 Kotak Telur Terpakai

Jalur Gemilang Gergasi Dari 500 Kotak Telur Terpakai

0
SHARE
Tombovo
Murid SK Tombovo Penampang bergambar bersama Jalur Gemilang gergasi menggunakan 500 kotak telur terpakai ( Sumber Foto: Ihsan SK Tombovo Penampang )

PENAMPANG, SABAH – Demi semangat cintakan negara, seluruh warga SK Tombovo Penampang, di sini, mencipta Jalur Gemilang gergasi menggunakan 500 kotak telur terpakai.

Guru Besar SK Tombovo, Venancy Suimen berkata inilah contoh bentuk perpaduan dan kesepakatan bersama yang dipupuk sejak dari sekolah lagi seiring dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini “Malaysia MADANI : Tekad Perpaduan Penuhi Harapan.”

Katanya, pada mulanya idea ini tercetus dengan penubuhan Kelab Alam Sekitar sekolah dan salah satu program yang dicadangkan ialah pembinaan Jalur Gemilang menggunakan bahan kitar semula.

“Sebanyak 3,000 kotak telur dikumpul pada awal bulan Julai, bagaimanapun, kita hanya menggunakan 500 dan sebahagian besar dikitar semula.

“Selain menzahirkan rasa cintakan negara, kami sebagai warga pendidik mahu memupuk semangat cintakan alam sekitar dengan mengitar semula bahan terpakai seperti kotak telur tadi,” katanya.

Venancy berkata, bendera gergasi itu akan ditempatkan pada ruang legar Dewan SK Tombovo nanti.

Katanya, banyak lagi program sekolah yang telah dianjurkan seperti penanaman pokok di sekitar kawasan sekolah.