
KOTA KINABALU, SABAH – Penglibatan syarikat swasta dalam pembangunan industri tempatan indikator positif memacu ke arah Sabah Maju Jaya (SMJ).
Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata, kerajaan negeri menyambut baik dan menyokong sepenuhnya inisiatif yang dilakukan oleh syarikat-syarikat swasta di negeri ini.
“Pelaburan dari syarikat swasta ini bukan sahaja demi kejayaan sendiri tetapi turut memberi sumbang besar kepada pertumbuhan ekonomi Sabah.
“Di samping itu, ini juga memperlihatkan bahawa negeri ini sebagai lokasi yang ideal untuk perniagaan berkembang secara dinamik dan berdaya saing.
“Kehadiran syarikat-syarikat swasta ini bukan sahaja mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan malah memberi sumbangan besar kepada pertumbuhan ekonomi di Sabah,” katanya pada Majlis Perasmian Sempena Sambutan Ulangtahun ke 140 Fraser & Neave (F&N) di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan turut memuji usaha F&N Holdings Berhad atas usaha menjalin kerjasama bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu (PPDKK) dalam menganjurkan Pertandingan Mencipta Poster Digital Sempena Hari Kebangsaan Peringkat Sekolah Rendah Daerah Kota Kinabalu.
“Usaha ini bagi mencungkil bakat dan meningkatkan kemahiran insaniah pelajar melalui pendedahan kepada teknologi terkini.
“Diharap kerjasama yang terjalin bagi menyokong inisiatif sektor pendidikan ini akan dapat mempersiapkan generasi muda dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk terus maju dalam landskap pasaran global yang sentiasa berubah,” katanya lagi.
Pertandingan Mencipta Poster Digital Sempena Hari Kebangsaan Peringkat Sekolah Rendah Daerah Kota Kinabalu yang bermula sejak 1 Ogos hingga 9 September lalu dimenangi oleh Olivianna Felix dari Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Yick Nam.
Manakala, naib johan dimenangi oleh Randy Joel Justin dari Sekolah Kebangsaan (SK) Natai Telipok dan tempat ketiga dimenangi Nur Zara Eryna Suffian dari SK Malawa.
Hadir sama, Pengarah Urusan Operasi Komersial Domestik (Malaysia Timur & Brunei) F & N Holdings Bhd, Graham Lim, Penolong Pegawai Pendidikan Sektor Pembangunan Murid PPDKK, Ahmad Mohd Akib dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Pembangunan Murid Daerah, Bunsu Gaga. — JABATAN PENERANGAN SABAH





