Terjemahkan Integriti Dalam Aspek Perkhidmatan Yang Disampaikan – Joachim

Terjemahkan Integriti Dalam Aspek Perkhidmatan Yang Disampaikan – Joachim

0
SHARE
Joachim
Joachim (empat dari kiri) menyampaikan hadiah kepada Johan Pertandingan Video Sketsa Integriti di Hati, Majlis Daerah Putatan yang diwakili oleh Penolong Pegawai Eksekutif, Jahara Saini ( Sumber Foto: Ihsan KKTP Sabah )

PUTATAN, SABAH – Datuk Dr Joachim Gunsalam mahu warga Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menterjemahkan integriti dalam aspek perkhidmatan yang disampaikan.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri KKTP itu berkata, jika setiap daripada mereka mampu melakukan ini, ia akan dapat memberi impak positif kepada masyarakat atau komuniti.

“Saya percaya dalam setiap bidang perkhidmatan kita tidak lari daripada cabarannya tersendiri dalam memperjuangkan dan menghayati erti integriti, namun suka saya menasihatkan agar nilai ini dipegang dan disematkan dalam setiap daripada kita.

“Pengurusan harian sebagai seorang penjawat awam seharusnya berpaksi kepada integriti pada diri masing-masing memandangkan setiap keputusan yang dibuat serta tindakan yang diambil perlulah secara telus, tanpa konflik, amanah, berakauntabiliti, jujur, elakkan salah guna kuasa dan berpandukan kepada peraturan sedia ada.

“Jadikan kepentingan organisasi sebagai panduan dengan membelakangkan kepentingan sendiri. Kebanyakkan kes pecah amanah adalah disebabkan kepentingan peribadi menguasai kepentingan organisasi.

“Ini menyebabkan seseorang membelakangkan tugas, tanggungjawab dan peranannya sebagai anggota perkhidmatan awam,” katanya ketika merasmikan pelancaran Program Minggu Integriti Kementerian (MIK) Tahun 2023 KKTP, di Dewan Sri Putatan, di sini, semalam.

MIK merupakan acara tahunan dan bagi tahun ini, MIK peringkat KKTP diraikan dengan tema “Integriti Teras Budaya Kerja Cemerlang” yang memberi penekanan kepada penerapan sikap kerja berintegriti di kalangan semua anggota kerja.

Sambutan MIK 2023 menunjukkan komitmen KKTP dan PBT dalam membudayakan dan menyemarakkan integriti dalam kalangan warga kerja Kementerian dan PBT.

Turut hadir Pembantu Menteri I dan II KKTP, Datuk Isnin Alisanih dan Datuk Mohd Hamsan AWANG Supain; Setiausaha Politik kepada Joachim, Jonnybone Kurum; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Dr. Jamili Nais dan Timbalan Setiausaha Tetap II, Faridah Giau.