KM HAJIJI SERAH 421 GERAN TANAH ANAK NEGERI KEPADA PENDUDUK TONGOD

KM HAJIJI SERAH 421 GERAN TANAH ANAK NEGERI KEPADA PENDUDUK TONGOD

0
SHARE
Hajiji
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor diiringi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Negeri, Datuk Bernard Liew dan Pegawai Daerah Tongod, Nelson Domil Oluk menyerahkan geran tanah anak negeri kepada wakil penduduk kampung pada Majlis Penyerahan Geran Tanah dan Warta Kampung di Dewan Terbuka Dataran Rakyat Tongod ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

TONGOD, SABAH – Kerajaan negeri menyerahkan sejumlah 421 geran tanah anak negeri kepada penduduk daripada 15 buah kampung dalam daerah Tongod melibatkan jumlah keluasan 790.37 hektar (1953.15 ekar).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyerahkan geran-geran tanah itu semasa lawatan kerjanya ke Tongod, di sini, hari ini.

Katanya, antara kampung-kampung utama yang terlibat ialah Kampung Simpang Entilibon
sebanyak 127 geran tanah, Kampung Imbak (94 geran tanah), Kampung Kironggu (55
geran tanah), Kampung Kotodon (43 geran tanah) dan Kampung Alitang (37 geran tanah).

Menurutnya, daripada jumlah geran tanah itu, sebanyak 343 geran adalah hasil daripada
Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) dan bakinya 78 geran dari
proses permohonan tanah biasa.

Hajiji turut menyerahkan Warta Tanah Rizab Kediaman Anak Negeri kepada empat buah
kampung, melibatkan Kampung Tampasuk seluas 77.587 hektar (191.214 ekar), Kampung
Imbak seluas 7.25 hektar (17.915 ekar), Kampung Linayukan (15.831 hektar (39.119 ekar) dan Kampung Namukon (4.047 hektar (10.00 ekar).

Turut hadir di majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Negeri, Datuk Bernard Liew dan Pegawai Daerah Tongod, Nelson Domil Oluk.

Terdahulu, Hajiji melakukan pecah tanah projek pembinaan Bangunan Mahkamah Anak
Negeri (MKN) Tongod di tapak projek itu.

Beliau diberi taklimat projek pembinaan bangunan MKN itu oleh Nelson.

Projek bernilai RM5,101,390 itu dimulakan pembinaan pada Jun 2023 dan dijangka siap
pada Disember 2024.

Hajiji turut menyerahkan Tanah Rizab Tapak Bangunan Mahkamah Anak Negeri Daerah
Tongod kepada Ketua Daerah Tongod, OKK Jusison Saidin.