Malaysia Akan Gagal Merdeka Dari Pandemik Tanpa Mencapai Persefahaman Politik – Yillson

Malaysia Akan Gagal Merdeka Dari Pandemik Tanpa Mencapai Persefahaman Politik – Yillson

0
SHARE
Lt. Muda (PA) Yillson Yanggun...

KOTA KINABALU: Majlis Belia Daerah Kota Marudu menyokong sepenuhnya kenyataan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan agenda “Bersama Memulihkan Negara”.

Presiden Majlis, Yillson Yanggun berkata cadangan itu merupakan langkah yang terbaik untuk menangani pandemik yang dihadapi seluruh dunia dan memberikan kelegaan dalam situasi getir negara melawan pandemik COVID-19.

“Kami memberikan sokongan dengan beberapa asas yang pastinya memberikan kebaikan untuk Negara…

“PERTAMA, Perdana Menteri telah membuat langkah yang bertepatan untuk menstabilkan politik Negara melalui gencatan politik sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang dijanjikan beliau selewat-lewatnya bulan Julai 2022.

“Hal ini akan lebih memfokuskan pemimpin untuk memerangi COVID-19 berbanding perebutan kuasa.

“KEDUA, Perdana Menteri telah memperlihatkan kematangan beliau melalui teknik perundingan antara Kerajaan dan juga pihak Pembangkang.

“Kesediaan kerajaan untuk duduk berbincang bersama semua pihak terutama parti-parti politik memperlihatkan keterbukaan beliau sebagai seorang pemimpin yang berfikiran terbuka,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Kerjasama ‘bipartisan’ yang dicadangkan oleh Perdana Menteri itu, menurut Yillson, adalah petanda bahawa beliau lebih mementingkan kesihatan dan keselamatan rakyat berbanding kepentingan peribadi beliau.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan khas yang disiarkan secara langsung pada petang 13 Ogos 2021 (Jumaat)…

“Jika wujud kerjasama rentas parti yang dicadangkan maka agenda memulihkan Negara lebih dilihat proaktif dan bakal mencapai titik persefahaman untuk menang bersama menghadapi pandemik luar biasa ini…

“Kami ingin menegaskan bahawa percaturan kuasa politik tidak akan menjamin kejayaan untuk memerangi pandemik COVID-19.

“Kekuatan yang ada pada kita hari ini adalah untuk membantu Kerajaan bersama-sama memenangi peperangan ini,” katanya.

Dia terus menyeru pemimpin dan rakyat agar bersatu hati dan bersama-sama memenangkan agenda “Bersama Memulihkan Negara” dengan mengambil makna dan semangat juang kemerdekaan negara yang turut diraihkan pada bulan ini.

“Tanpa persefahaman dan kesatuan yang ada pada kita semua, kita akan gagal untuk menang dan merdeka daripada pandemik COVID-19,” tegasnya.