KOTA KINABALU, SABAH – Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah mengalu-alukan keputusan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun dalam memberi kebenaran untuk dine-in serta membeli barang keperluan.
Presidennya, David Chan berkata, pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) itu amat wajar bagi mengekang daripada wabak COVID-19 daripada terus merebak di Sabah ini.
Menurut beliau, dalam keadaan Sabah yang masih tinggi jumlah jangkitan harian, sewajarnya SOP dengan membenarkan pelanggan dengan dua dos vaksin sahaja untuk dine-in perlu dipatuhi.
“Kita menyokong penuh kenyataan Datuk Seri Masidi mengenai pematuhan SOP itu kerana sehingga semalam terdapat peningkatan kes Covid-19 dengan 1,650 kes manakala di Kota Kinabalu sendiri sebanyak 351 kes…
“Begitu juga dengan kebenaran masuk membeli-belah di pasar raya atau kedai serbaneka seharusnya ada pematuhan serupa bagi mengekang wabak daripada terus merebak dan meningkat,” katanya.
Beliau dalam pada itu menyeru semua rakyat Sabah supaya segera mendapatkan vaksin termasuk mengambil peluang daripada kemudahan walk-in yang dilaksanakan oleh kerajaan.
“Lagi cepat kita semua mendapat vaksin penuh, saya yakin lagi cepat kita boleh turunkan jumlah jangkitan dan kes-kes yang memerlukan rawatan di hospital…
“Oleh itu, marilah kita semua menyahut seruan kerajaan untuk mendapatkan suntikan vaksin termasuk mengambil vaksin tersedia di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) SICC Kota Kinabalu,” ujar beliau lagi.