FriedChillies, Sunway Putra Mall Hidang Makanan ‘Terviral’ Dalam Pesta Makanan

FriedChillies, Sunway Putra Mall Hidang Makanan ‘Terviral’ Dalam Pesta Makanan

0
SHARE
Food
Antara makanan viral yang akan dihidangkan pada acara Top Viral Food Festival ( Sumber Foto: Ihsan FriedChillies )

KUALA LUMPUR – FriedChillies dan Sunway Putra Mall sekali lagi berkolaborasi bagi membawakan makanan paling ‘viral’ dalam acara tiga hari bermula Jumaat ini (29 September).

Berbeza dari Nasi Kandaq Fest dimana hanya nasi kandar dan lauk-pauknya diraikan, acara kali ini menggabungkan pelbagai makanan viral di media sosial dari brisket yang lembut ,donut-pizza yang mengiurkan sehinggalah minuman segar yang menyejukkan.

“Sejak kebelakangan ini, memang tak boleh dinafikan yang pelbagai makanan yang inovatif telah dihasilkan dan dijual melalui platform media sosial.

“Efek langsung dari pandemik dan sekatan keluar rumah telah memberi manusia dari pelbagai lapisan masyarakat masa untuk berkarya dan juga mencari rezeki alternatif demi menampung kelangsungan hidup,” kata Adly Rizal, Ketua Pegawai Eksekutif FriedChillies.

Katanya, objektif acara diadakan adalah menyediakan produk yang berkualiti untuk rakyat Malaysia selain menyokong perniaga makanan tempatan.

“Kami jangka pengunjung acara ini bukan sahaja dari golongan muda yang dahagakan ‘content’, malah juga golongan yang berkeluarga kerana kami juga ada merancang aktiviti-aktiviti yang pasti akan menghiburkan semua,” Adly berkata.

Hari-hari acara akan dihiburkan dengan buskers dan juga pertandingan makan “Man Vs. Food” dan pertandingan Cosplay Pose dengan lebih kurang 500-1000 peminat dijangka hadir.

Panel juri pertandingan ini terdiri daripada cosplayer-cosplayer ‘lejen’ seperti Azamcos (The Ultimate Cosplayer), Din (LoL Cosplay) dan Adam John.

Penjual makanan yang akan berada di Top Viral Food Festival ini terdiri daripada pengusaha yang sedang hangat di media sosial di bawah satu bumbung.

“Pengunjung hanya perlu datang ke satu tempat sahaja dan menikmati semua juadah yang tersedia dengan cara santai.

“Antara nama-nama yang pasti orang akan kenali adalah Beard Brothers BBQ, TanjakCrew, Suka Dessert dan Donut Viral Opah yang seringkali jadi sebutan ramai sejak tahun 2021,” Adly menambah.

Tan Ai Vee, Ketua Pemasaran Sunway Putra Mall pula berkata pihaknya teruja atas sambutan Nasi Kandaq Fest berlangsung minggu lepas yang menarik 20,000 pengunjung.

“Memang acara makanan seperti ini sesuatu yang menyatukan semua penduduk Malaysia tak kira bangsa atau agama, tua atau muda.

“Kami harap acara-acara seperti ini akan terus bertempat di Sunway Putra Mall dimana tak kira panas atau hujan, semua orang boleh menikmatinya dengan selesa di pusat beli belah kami.

“Ini memang selari dengan visi kami yang ‘mall’ bukan sahaja untuk membeli-belah tapi juga tempat di mana komuniti boleh berkumpul untuk bersosial dan mengeratkan silaturahim,” ujarnya.

FriedChillies adalah jenama disebalik tabir acara-acara makan “meletup” seperti I Eat Nasi Lemak dan Ayam Lejen dan mereka selalu mencari lokasi yang menarik untuk dijadikan tapak acara.