KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret di sini semalam menjatuhi hukuman denda RM2,000 terhadap seorang kerani yang digelar ‘abang blazer merah’ yang tular di media sosial kerana mencederakan seorang penghantar barang dalam kejadian di Menara IQ di sini, pada 2 November tahun lalu.
Majistret, Illi Marisqa Khalizan, mengenakan denda itu terhadap Muhammad Nazrul Hairie Harmi, 28, selaku orang kena saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah, menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Samier Ibruhem, 24, menggunakan kaki dan tangan pada 3.59 petang di Lobi Menara IQ, Lingkaran TRX, Tun Razak Exchange di sini.
Muhammad Nazrul, didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.
Mahkamah turut memerintahkan OKS dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda. Dia membayar denda itu.
Timbalan Pendakwa Raya Zuhairi Osman memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada OKS, manakala peguam Rhastdan Abdul Wahab memohon denda minimum atas alasan anak guamnya tidak mempunyai rekod kesalahan lampau selain penanggung utama keluarga.





