
KOTA BELUD, SABAH – Kinabalu UNESCO Global Geopark (KUGGP) mampu memberi manfaat dan limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kewujudan geopark yang meliputi daerah Kota Belud, Kota Marudu dan Ranau membabitkan sebanyak 423 kampung itu akan memberi peluang kepada komuniti meningkatkan pendapatan melalui aktiviti pelancongan dan pengekalan budaya.
“Kewujudan geopark ini memberi manfaat besar seperti peluang perniagaan, pekerjaan dan pelancongan melalui pendekatan pemasaran ke seluruh dunia sekaligus meningkatkan jumlah kemasukan pelancong ke kawasan berkenaan.
“Peningkatan infrastruktur di kawasan geopark turut akan membawa kepada pembangunan jaringan jalan raya dan kemudahan awam yang memudahkan pengangkutan hasil pertanian.
“Selain itu, peluang perniagaan baharu juga dibuka seperti inap desa seterusnya mencipta peluang pekerjaan seperti pemandu pelancong kepada anak-anak tempatan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pemasyhuran KUGGP dan Pelancaran Sambutan Jubli Intan Taman-Taman Sabah di Dataran Kota Belud pada Sabtu.
Menurut Hajiji, pengiktirafan sebagai geopark merupakan satu pencapaian yang baik bagi kerajaan negeri di bawah inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri serta Taman-Taman Sabah.
“Jelas sekali, Hala Tuju SMJ adalah selari dengan konsep geopark dan sudah pasti kawasan ini bakal menjadi destinasi Geo-pelancongan global pada masa akan datang.
“Justeru, tiga tumpuan utama geopark iaitu pemuliharaan sumber alam, pembangunan infrastruktur asas dan penjanaan sosioekonomi rakyat tempatan yang mendiami kawasan ini perlu diberi penekanan,” katanya.
Beliau turut menggesa kepada semua pihak terutama penduduk di persekitaran geopark berganding bahu bersama kerajaan memelihara khazanah negeri agar tidak dirosakkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Hadir sama, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Al Hambra Juhar, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong, Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad, Datuk Dr. Yusof Yacob dan Pengarah Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah, Dr. Maklarin Lakim. — JABATAN PENERANGAN SABAH





