KPTDGA, KKR Kerjasama Tangani Isu Air Sabah

KPTDGA, KKR Kerjasama Tangani Isu Air Sabah

0
SHARE
Fadillah
Fadillah melawat sekitar PPU Gudon-Telipok ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

TUARAN, SABAH – Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam (KPTDGA) dan Kementerian Kerja Raya (KKR) bekerjasama dalam menangani isu air di Sabah.

Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, beliau meminta KPTDGA dan KKR untuk berbincang kaedah penyelesaian bagi isu yang timbul dalam Projek Penambahan Kapasiti Loji Rawatan Air Telibong II.

“Projek tersebut kini sedang berjalan dan secara keseluruhannya siap hampir 70 peratus namun terdapat beberapa isu yang perlu diselesaikan.

“Selepas mendengar taklimat hari ini, saya arahkan KPTDGA dan KKR serta beberapa agensi yang terlibat antaranya Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) untuk berbincang kaedah penyelesaian bagi isu yang timbul.

“Selain itu, disebabkan projek ini akan memerlukan peruntukan tambahan, saya juga mengarahkan pihak yang terlibat untuk membuat laporan dan menyerahkannya dalam tempoh dua minggu.

“Selepas menerima laporan, projek ini akan diangkat semula kepada kerajaan persekutuan kerana projek ini adalah melalui pinjaman.

“Oleh itu, kita juga akan berbincang kaedah untuk mencari dana tambahan daripada peruntukan yang ada khususnya dalam bentuk pinjaman itu untuk diselesaikan,” katanya kepada media selepas sesi taklimat dan lawatan Loji Rawatan Air Telibong Fasa II di sini, pada Sabtu.

Menurut Fadillah, beliau diamanahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mencari jalan penyelesaian bagi isu yang timbul memandangkan kawasan berkenaan agak kritikal.

“Bukan sahaja kepada industri dan penduduk setempat, kita tahu Universiti Malaysia Sabah (UMS) juga berdepan dengan masalah air dan loji ini adalah salah satu yang akan membekalkan air ke UMS,” tambahnya.

Hadir sama, Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Limus Jury, Pengerusi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang juga Ahli Parlimen Tuaran dan Pengarah JANS, Suhaimi  Asbullah.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam turut berkesempatan meninjau Projek Pembahagian – Pencawang Pembahagian Utama (PPU) Gudon Telipok.

PPU berkenaan dibina bertujuan untuk meningkatkan pembekalan tenaga elektrik ke kawasan Gudon, Sepanggar dan bagi memastikan pengguna di kawasan berkenaan mendapat bekalan elektrik yang berdaya harap.

Projek pembinaan berkenaan telah mencapai 49 peratus dan dijangka akan siap sepenuhnya Ogos depan. — JABATAN PENERANGAN SABAH