Kokurikulum Penting Bentuk Kesepaduan Untuk Capai Kejayaan Lebih Besar

Kokurikulum Penting Bentuk Kesepaduan Untuk Capai Kejayaan Lebih Besar

0
SHARE
Joachim
Joachim ( dua dari kanan) menyampaikan sijil kecemerlangan kepada salah seorang pelajar cemerlang dengan diiringi Boy (kiri) - ( Sumber Foto: Ihsan KKTP Sabah )

RANAU, SABAH – Aktiviti luar daripada kurikulum formal penting dalam membentuk kepimpinan, kreativiti, dan semangat bekerjasama di kalangan pelajar, kata Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Dr Joachim Gunsalam.

Selain itu katanya, ia juga dapat menanamkan sifat bertolak ansur, kebersamaan dan ikatan perpaduan dalam kalangan pelajar.

“Dengan kesepaduan kita mampu mencapai kejayaan yang lebih besar,” katanya ketika merasmikan Majlis Apresiasi Kecemerlangan Kokurikulum dan Khidmat Bakti Hal Ehwal Murid SMK Mat Salleh 2023 di Sekolah Menengah Kebangsaan Mat Salleh, di sini, Khamis lalu (Jan 25).

Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan turut memuji penganjuran majlis appresiasi seperti ini kerana ia bukan sekadar satu acara penghargaan, bahkan juga merupakan satu usaha berterusan untuk melahirkan generasi yang seimbang dari segi jasmani, rohani, intelektual, dan emosi.

“Kita ingin membentuk murid yang menghargai bakat dan seni tanpa mengira kaum, serta memupuk sikap bertanggungjawab terhadap kesihatan badan dan minda melalui aktiviti yang sihat.

“Pada masa yang sama, majlis ini adalah untuk membangunkan pembentukan kemahiran lisan, seperti kemahiran berinteraksi dengan masyarakat. Interaksi yang baik membantu murid memperoleh pengalaman dan pengetahuan yang luas, membolehkan mereka menjadi individu yang berketerampilan dan berdedikasi,” kata ADUN Kundasang itu.

Turut hadir, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Perancangan, Pejabat Pendidikan Daerah Ranau, Foo Lee Yen; Pengetua SMK Mat Salleh, Ranau; Boy @ Sharif Fuad Francis.