
KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan nrgeri bercadang untuk mengindahkan Pulau Gaya dan menjadikannya salah satu tarikan pelancongan Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
“Idea itu sudah agak lama dan kerajaan negeri sekarang sedang merancang untuk mengalihkan penduduk yang merupakan penduduk tempatan di Pulau Gaya ke tanah besar,” katanya.
Pulau Gaya, katanya mempunyai kualiti untuk menjadi tarikan pelancong yang baik tetapi kewujudan setinggan di pulau itu tidak sesuai dengan rancangan terbabit.
“Pulau Gaya mempunyai tempat yang istimewa dalam sejarah kita dan ia terletak hanya kira-kira lima minit perjalanan menaiki bot dari ibu negeri.
“Kita perlu memanfaatkannya,” katanya pada program Kembara Kasih Ramadan di SK Pulau Gaya, di sini, semalam.
Ketua Menteri berkata Pejabat Parlimen Putatan di bawah Timbalan Ketua Menteri Datuk Shahelmey Yahya juga bercadang untuk membina Klinik Kesihatan di pulau itu.
“Apa yang penting penduduk di sini terus menjaga perpaduan, keselamatan dan kebersihan,” katanya.
Hajiji yang diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari turut menyampaikan bantuan yuran persekolahan kepada 70 murid pejabat sumbangan Pejabat ADUN Petagas.
Kemudian, Hajiji bersama Awang Ahmad Sah, Shahelmey, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ariffin Arif dan Pengarah Yayasan Sabah Datuk Ghulam Haidar Bahadar Khan menyampaikan sumbangan Aidil Fitri kepada penduduk.





