100 Asnaf Menerima Sumbangan YNJ

100 Asnaf Menerima Sumbangan YNJ

0
SHARE
Norlidah
Toh Puan Norlidah (depan,tengah) bergambar kenangan bersama para penerima sumbangan dan petugas ( Sumber Foto: Jabatan Penerangan Sabah )

RANAU, SABAH – Seramai 100 golongan asnaf dan miskin tegar menerima sumbangan dari Yayasan Nur Jauhar (YNJ).

Penyampaian tersebut di sempurnakan oleh isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah R.M Jasni sempena lawatannya ke Daerah Ranau untuk menyantuni golongan asnaf di Dewan Masyarakat Ranau pada Rabu.

Setiausaha Sulit kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Datuk Abinan Asli berkata, sumbangan tersebut diharap mampu meringankan beban golongan asnaf yang memerlukan.

“Ini merupakan sumbangan daripada Yayasan Nur Jauhar (YNJ) kepada golongan asnaf dan miskin tegar sempena lawatan Toh Puan ke daerah Ranau yang bermula sejak isnin lepas.

“Sumbangan ini juga bersempena dengan Hari Raya dan Pesta Kaamatan yang akan dilancarkan pembukaan nya di daerah ini dan diharapkan dengan sumbangan ini akan meringankan beban mereka membeli barangan keperluan dan juga menggembirakan mereka.

“Selepas ini, Toh Puan dan rombongan akan ke daerah Telupid bagi menyantuni golongan asnaf dan miskin tegar dengan memberi bantuan berupa barangan keperluan asas serta wang tunai,” katanya.

Sementara itu, surirumah, Nor Sakila Abdullah, 23, dari Kampung Mohimboyon meluahkan rasa syukur dan akan menggunakan duit tersebut membeli barang keperluan harian serta dijadikan modal untuk menanam sayur.

“Suami hanya bekerja menanam sayur di sekitar rumah dengan pendapatan bulanan hanya sekitar RM300 dan kadangkala kurang kerana musim kemarau sekarang ini.

“Terima kasih atas sumbangan hari ini, duit ini saya akan gunakan buat modal menanam sayur dan juga menyewa pengangkutan menjual hasil sayur ke gerai-gerai sekitar pekan, selebihnya akan digunakan membeli barang keperluan rumah,” ujarnya.

Turut hadir, Penolong Setiausaha Kehormat YNJ, Datin Al Hana Tun Juhar dan Setiausaha Perhubungan Tuan Yang Terutama Negeri Sabah, Datuk Rashid Mohd Tahir, Pegawai Daerah Ranau, Tinus Manggam, Pegawai Kebajikan Daerah Ranau, Abdul Himad Abdul Hamid dan Pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Daerah Ranau, Zaituliffah Md. Asli. — JABATAN PENERANGAN SABAH