Lebih 10,000 Calon SPM 2023 Tidak Hadir Peperiksaan 

Lebih 10,000 Calon SPM 2023 Tidak Hadir Peperiksaan 

0
SHARE

PUTRAJAYA: Seramai 10,160 daripada 383,685 calon Sijil Pelajar Malaysia (SPM) 2023 tidak hadir menduduki peperiksaan di mana angka tersebut cukup membimbangkan dan memerlukan perhatian serius.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, jumlah ketidakhadiran ini perlu ditangani dengan teliti agar langkah intervensi yang sesuai dapat dilaksanakan. 

“Kita akan teliti punca kenapa calon ini tidak hadir menduduki SPM 2023, terutamanya selepas berlaku penurunan agak banyak bagi calon yang mendaftar SPM 2023 berbanding 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pengumuman analisis keputusan SPM 2023 di Kementerian Pendidikan (KPM) di sini, hari ini.

Memetik eduBestari, antara punca yang mungkin menyumbang kepada ketidakhadiran calon adalah keadaan kesihatan mental dan emosi pelajar.

“Menurut kajian oleh Universiti Malaya pada tahun 2022, peningkatan tekanan akademik dan masalah kesihatan mental di kalangan pelajar sekolah menengah semakin ketara, terutamanya selepas pandemik Covid-19. 

“Pelajar yang mengalami masalah ini mungkin berasa tertekan dan tidak bersedia untuk menghadapi peperiksaan besar seperti SPM.

“Selain itu, laporan Bank Dunia turut menunjukkan kemiskinan dan ketidakstabilan ekonomi dalam keluarga boleh menyebabkan pelajar terpaksa bekerja untuk membantu keluarga mereka, sekali gus mengabaikan pendidikan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Azman berkata bahawa pihak KPM akan mengambil beberapa langkah intervensi untuk menangani isu ini termasuklah menjalankan kajian menyeluruh untuk mengenal pasti punca ketidakhadiran calon SPM.

“Seterusnya menyediakan kaunseling dan sokongan psikologi kepada pelajar yang menghadapi tekanan mental serta emosi, menawarkan bantuan kewangan dan program biasiswa kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.

“Selain meningkatkan kesedaran tentang pentingnya pendidikan melalui program motivasi dan kempen kesedaran,” tegasnya.