Buaya Betina 2.5 Meter Panjang Ditembak Mati di Lahad Datu

Buaya Betina 2.5 Meter Panjang Ditembak Mati di Lahad Datu

0
SHARE

LAHAD DATU: Seekor buaya betina mati ditembak dalam operasi bersepadu membanteras buaya di Kampung Sabah Baru, di sini, Khamis lalu.

Reptilia sepanjang 2.5 meter itu ditemui di pinggir sebuah rumah di atas air di kampung terbabit.

Kakitangan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Lahad Datu, Silverter Saimin berkata, operasi bersama membanteras buaya terdiri daripada JHL, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah dijalankan Khamis lalu.

Katanya, operasi itu meliputi beberapa kawasan iaitu POIC, Kampung Bawah Baru, Kampung Desa Bajau, Kampung Sabah Baru, Kampung Tabanak dan Kampung Juruan.

“Seekor buaya dikesan di tepi sebuah rumah di atas air di Kampung Sabah Baru.

“Satu tembakan dilepaskan oleh JHL dan berjaya menembak mati buaya itu,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Menurutnya, bangkai buaya itu dibawa ke kediaman kakitangan JHL Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

“Operasi membasmi buaya akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya. – Berita Harian