Pengurusan Masjid Disaran Zahir Kemerdekaan Melalui Program Kerohanian

Pengurusan Masjid Disaran Zahir Kemerdekaan Melalui Program Kerohanian

0
SHARE
Kmjg
Irwan (tengah) menerima cenderamata daripada Ruslan (tiga dari kanan) sambil diperhatikan Ibrahim (tiga dari kiri), Jaafarshah (dua dari kiri), Mohd Firdaus (kiri), Supian (dua dari kanan) dan Hazim (kanan) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

MEMBAKUT, SABAH – Pengurusan masjid dan surau disaran untuk menzahirkan semangat kenegaraan melalui program-program kerohanian.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam berkata masjid dan surau merupakan institusi yang penting dalam pembangunan masyarakat.

“Masjid yang benar-benar berfungsi akan memberikan banyak faedah dan manfaat kepada masyarakat sekitar seperti dalam aspek pembentukan kerohanian, keilmuan dan juga kenegaraan.

“Program-program kerohanian yang berteraskan kenegaraan ini patut dianjurkan sebagai salah satu cara kita memupuk sifat taat kepada sistem beraja, undang-undang dan perlembagaan negara serta negeri di samping memperkukuhkan perpaduan dan sikap menghormati dalam komuniti setempat.

“Oleh itu, sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan sambutan Hari Sabah, saya menyeru kepada pengurusan masjid dan surau untuk sama-sama menzahirkan rasa cinta dan terima kasih kita kepada nikmat kemakmuran dan keamanan yang dimiliki melalui program-program seumpama ini,” ujarnya.

Beliau yang juga ADUN Lumadan berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Bacaan Yasin Dan Doa Selamat sempena Program Jiwa Madani anjuran Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Sabah di Masjid Cahaya Iman dekat sini pada Khamis.

Program yang diadakan bersempena dengan Karnival Kita Madani Peringkat Negeri Sabah serta Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah itu mendapat penyertaan seramai 100 orang.

Majlis dimulakan dengan solat Maghrib secara berjemaah kemudian bacaan surah Yasin dan doa selamat dipimpin oleh Imam Besar Masjid Cahaya Iman Jaafarshah Jaidin disusuli solat Isyak oleh Imam Kariah masjid tersebut Mohd. Firdaus Abdullah.

Hadir sama, Pegawai Daerah Membakut Ibrahim Terki, Timbalan Pengarah JaPen Sabah Supian Musa, Pemaju Mukim Bambangan Membakut Awang Hazim Awang Basir serta Pengerusi Masjid Cahaya Iman Irwan Harun. — JABATAN PENERANGAN SABAH