10,000 Orang Meriahkan Istiadat Perbarisan Sempena Ulang Tahun Kelahiran Rasmi TYT Sabah

10,000 Orang Meriahkan Istiadat Perbarisan Sempena Ulang Tahun Kelahiran Rasmi TYT Sabah

0
SHARE
Juhar
Tun Juhar (dua kanan) memotong kek Pulut Kuning sempena Majlis tersebut ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 10,000 orang memeriahkan Istiadat Perbarisan sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-71 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Para peserta daripada 84 kontinjen berhimpun seawal 6.30 pagi melibatkan para pegawai kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan, pelajar sekolah dan pengajian tingi, pertubuhan etnik negeri Sabah dan pasukan-pasukan keselamatan.

Upacara rasmi dimulakan dengan keberangkatan tiba Tun Juhar di Padang Merdeka pada 8.00 pagi diiringi oleh isterinya, Toh Puan Norlidah R.M Jasni.

Tun Juhar menerima Tabik Hormat Diraja daripada Pasukan Kawalan Kehormatan Utama (KKU) Batalion Ke-22 Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Lok Kawi yang disertai tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat diketuai oleh Mejar Roshidee Husni.

Acara kemudiannya diteruskan dengan iringan muzik lagu “Negaraku” dan “Sabah Tanah Airku” disusuli dengan 17 das tembakan meriam Tentera Darat Malaysia pimpinan Mejar Rusdi Husin.

Selepas itu, Tun Juhar memeriksa Kawalan Kehormatan Utama sebelum naik ke pentas utama dan menerima Tabik Hormat Diraja daripada Pasukan Kawalan Kehormatan Utama (KKU) sebelum KKU bergerak keluar padang.

Kontinjen jabatan kerajaan berpakaian seragam rasmi masuk padang pada 8.10 pagi diketuai oleh Ketua Pasukan Perbarisan, Leftenan Kolonel Amran Omar melapor serta menjemput Tun Juhar memeriksa perbarisan kontinjen-kontinjen.

Mengiringi Tun Juhar ketika pemeriksaan kontinjen dengan Kenderaan Istiadat ialah Panglima 5 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Noorul Azril Ariffin diserikan dengan alunan muzik gabungan Pancaragam Polis Diraja Malaysia Kontinjen Sabah dan Tentera Laut Diraja Malaysia.

Kemuncak Istiadat Perbarisan adalah dengan Penyematan Sayap Kehormat VAT 69 Komando PDRM Kepada Tun Juhar oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Acara penuh bermakna tersebut turut menampilkan persembahan istimewa tarian Igal (medley) oleh Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.

Turut hadir, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Juliah Salag serta Timbalan Ketua Menteri III merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Hari Jadi Rasmi Ke-71 TYT Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam dan menteri-menteri kabinet negeri. — JABATAN PENERANGAN SABAH