RAKYAT, PEMIMPIN PERLU BERGANDING BAHU REALISASI ASPIRASI TUN JUHAR

RAKYAT, PEMIMPIN PERLU BERGANDING BAHU REALISASI ASPIRASI TUN JUHAR

0
SHARE
Juhar
Tun Juhar (lima dari kiri) bersama isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni bergambar kenangan di lobi DUN ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Rakyat dan barisan pemimpin diseru untuk berganding bahu merealisasikan hasrat Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Tun Juhar berhasrat ingin melihat Sabah terus terpelihara keharmonian kaum dan kesejahteraan hidup rakyat tanpa mengira fahaman politik, bangsa dan agama.

Sabah merupakan negeri yang bertuah dan makmur dengan rakyatnya yang pelbagai kaum, budaya, bahasa, tradisi, dan agama.

“Keunikan ini perlulah dipelihara dan dihormati bersama kerana kepelbagaian ini adalah merupakan sumber kekuatan negeri yang tercinta.

“Dalam hal ini, kerajaan negeri sentiasa meletakkan kepentingan rakyat di hadapan bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada segala kemudahan asas yang berkualiti.

“Justeru itu, saya ingin mengambil kesempatan memohon kerjasama semua barisan kepimpinan negeri agar dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh ikhlas dan jujur, taat dan setia, berdedikasi dan berintegriti.

“Kepercayaan yang diberikan oleh rakyat hendaklah digalas dengan sepenuh hati agar agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya mampu kita capai bersama dengan penuh kecemerlangan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Jamuan Negeri sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-71 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah di Dewan Undangan Negeri, pada Sabtu.

Menurut Hajiji, kerajaan negeri akan berusaha menyediakan pelbagai kemudahan dan infrastruktur kepada rakyat untuk memastikan kesinambungan pembangunan negeri dan sistem penyampaian perkhidmatan yang mantap dapat dilaksanakan.

“Ini selaras dengan usaha untuk meningkatkan taraf sosio ekonomi dan taraf kehidupan rakyat negeri ini.

“Keseimbangan dalam pengagihan pembangunan dan ekonomi amatlah diutamakan untuk memastikan pertumbuhan yang inklusif dan taraf hidup rakyat dapat dipertingkatkan.

“Sesungguhnya negeri Sabah di bawah naungan Tun Juhar akan mencapai pembangunan holistik dan semua akan menerima manfaat daripadanya,” ujarnya.

Hajiji turut memimpin Upacara Minum Hormat sebelum upacara memotong kek oleh Tun Juhar.

Hadir sama, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Openg, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Kadzim M Yahya serta jemaah kabinet Sabah. — JABATAN PENERANGAN SABAH