PRO, Komuniti Madani Sinergi Terbaik Salur Inisiatif Kerajaan – Jainisah

PRO, Komuniti Madani Sinergi Terbaik Salur Inisiatif Kerajaan – Jainisah

0
SHARE
Jainisah
Jainisah ketika mempengerusikan Mesyuarat Pegawai Perhubungan Awam Bil.1/2024 ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kolaborasi Pegawai Perhubungan Awam (PRO) dengan Komuniti Madani berupaya mewujudkan sinergi terbaik untuk menyalurkan maklumat serta inisiatif kerajaan.

Menurut Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor, kolaborasi tersebut selaras dengan peranan PRO dalam merancang, mengurus dan mewujudkan jalinan kerjasama di antara kementerian ataupun jabatan dengan 219 Komuniti Madani di bawah seliaan Jabatan Penerangan (JAPEN) Sabah dalam program-program di lapangan.

“Sekarang ini, kita sedang menguruskan ataupun telahpun mewujudkan sebanyak 219 Komuniti Madani di seluruh Sabah.

“Sekiranya jabatan di tempat anda bertugas ingin melaksanakan program di lapangan, bolehlah berkolaborasi strategik bersama dengan komuniti-komuniti Madani di bawah seliaan JAPEN Sabah.

“Maklumatnya Bahagian PKPM akan kongsikan melalui Whatsapp Grup PRO dalam masa terdekat,” ujarnya ketika mempengerusikan Mesyuarat PRO Bil.1/2024 di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi Jalan Kepayan, semalam.

Untuk rekod, Sabah mempunyai 27 orang PRO yang kini bertugas di enam agensi iaitu Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Majlis Keselamatan Negara, Politeknik Kota Kinabalu, Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sabah, selain hospital Daerah Tawau, Sandakan, Keningau, Beaufort, Kudat, Hospital Queen Elizabeth, Hospital Queen Elizabeth II dan Hospital Wanita dan Kanak-kanak Likas.

Dalam kata aluannya, Jainisah mahu warga PRO melihat pusingan kerja yang digariskan dalam pekeliling yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam secara rasional dan memanfaatkan peluang berkenaan untuk menimba ilmu serta pengalaman yang baharu.

Selain itu, beliau turut menasihati para pegawai terbabit agar menerima opsyen Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dan menyokong transformasi perkhidmatan awam yang dibuat oleh JPA.

“Saya ingin menarik perhatian rakan-rakan PRO berkenaan surat edaran berkaitan daripada JPA yang bertarikh 14 Mei 2024 berkaitan urusan pusingan kerja.

“Sebenarnya, di JAPEN Sabah juga kita telah melaksanakan pekeliling ini dan kini sudah lebih daripada empat pusingan dan saya percaya Ibu Pejabat juga sedang mengatur dan menyusun semula semua urusan berkaitan dengan pusingan kerja bagi semua PRO.

“Sekiranya mendapat surat daripada Ibu Pejabat nanti, buatlah keputusan ataupun pilihan yang wajar khususnya bagi yang telah berada lebih daripada tujuh tahun di luar, berkhidmat di luar, rasanya wajar untuk membuka peluang untuk diri sendiri, bersifat adil kepada diri sendiri untuk belajar benda baharu, menambah pengetahuan dan pengalaman baharu di jabatan yang berbeza.

“Sebab amat kritikal bagi mana-mana pegawai untuk mempunyai, memiliki pengetahuan, kemahiran dan juga pengalaman yang berbagai sebelum kita balik berkhidmat atau memegang jawatan yang lebih besar, lebih tinggi di jabatan kita sendiri di masa hadapan,” katanya.

Mesyuarat yang diadakan secara berkala itu bertujuan untuk memantau perkembangan serta berkongsi maklumat mengenai program di jabatan serta agensi masing-masing, di samping merapatkan hubungan sesama warga JAPEN. — JABATAN PENERANGAN SABAH