Ibu Tolak Anak Sejauh 1KM Ke Klinik Kesihatan Setiap Hari

Ibu Tolak Anak Sejauh 1KM Ke Klinik Kesihatan Setiap Hari

0
SHARE

BATU PAHAT – Seorang ibu di Lorong Tanjung, Batu 12 1/2 Senggarang, dekat sini, gigih menolak anaknya dengan kerusi roda sejauh lebih satu kilometer ke Klinik Kesihatan Senggarang, setiap hari bagi mendapatkan rawatan.

Poniah Kadiri, 50, berbuat demikian sejak dua bulan lalu tanpa gagal berikutan anak kesayangannya, Nur Farah Afiqah, 19, atau dipanggil Saloma mengalami luka melecur di kaki kirinya yang perlu dicuci dan dirawat setiap hari.

Saloma adalah mangsa langgar lari di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) , berhampiran Pagoh, Muar, awal September lalu, ketika dalam perjalanan pulang bercuti dari Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) ke Senggarang dengan menaiki motosikal, kini hanya mampu terlantar di rumah, berikutan kecederaan parah dialaminya.

Poniah berkata, Saloma mengalami kecederaan termasuk patah tengkuk dan rahang, retak tempurung kepala, mengalami gegaran otak selain melecur teruk di kaki kiri akibat terhempap ekzos motosikal dalam masa yang lama ketika terbabit dalam kemalangan itu.

Katanya, mengakui keletihan namun adalah menjadi tanggungjawabnya supaya anaknya itu pulih dan dapat menyambung semula pengajiannya satu hari nanti.

“Setiap hari saya bangun seawal jam 4 pagi bagi memasak dan membungkus 200 paket nasi lemak serta kuih-muih untuk dijual di pekan Senggarang sehingga jualan habis kira-kira jam 6.30 pagi.

“Selepas itu saya pulang ke rumah untuk berehat dan menyediakan anak yang lain untuk ke sekolah sebelum menyiapkan Saloma untuk ke Klinik Kesihatan kira-kira jam 9.15 pagi setiap hari sejak dua bulan lalu.

“Doktor di Klinik Kesihatan berkata luka melecur Saloma masih basah dan perlu dicuci serta dirawat setiap hari bagi mengelakkan jangkitan kuman. Rawatan untuk Saloma akan selesai menjelang jam 12 tengah hari sebelum saya akan menolaknya pulang ke rumah,” katanya kepada BH.

Poniah berkata, beliau akan terus berusaha dan melupakan perasaan letih bagi memastikan anak ketiganya itu sembuh sepenuhnya supaya hasrat Saloma untuk menyambung semula pengajian dalam bidang akaun dan menjadi akauntan untuk membantu keluarganya tercapai satu hari nanti.

“Alhamdullilah, Saloma tidak lumpuh walaupun kecederaannya amat parah berikutan patah tengkuk dan mengalami gegaran otak sehingga perlu memakai besi penstabil di kepalanya. Namun, Saloma masih belum dapat berjalan berikutan kecederaan di kakinya selain belum dapat mengimbangi badan dengan sempurna lagi.

“Selepas kemalangan tempoh hari Saloma koma dua hari selain hilang ingatan selama dua minggu namun hasil rawatan doktor, ingatannya semakin pulih dan hanya mengalami kesukaran bercakap berikutan rahangnya patah selain kecederaan kaki dan kepalanya yang sedang dalam pemulihan,” katanya.