KOTA KINABALU: Platform media sosial mempunyai pengaruh besar dalam membentuk pandangan pengundi terhadap parti, calon yang bertanding dan isu-isu yang dekat di hati mereka, kata bekas Ketua Editor New Sabah Times, Ch’ng Boon Heng.
Beliau berkata, selain turun padang mengadakan ceramah, parti politik dan calon kini semakin bergantung kepada media sosial untuk berkomunikasi dengan pengundi bagi meraih sokongan.
Menurut Ch’ng, penggunaan media tradisional masih berperanan, namun kadar penyampaian maklumat yang lebih perlahan menjadikannya kurang berkesan.
“Dalam era digital ini, kita sangat bergantung kepada media sosial sebagai sumber maklumat, namun masyarakat perlu berhati-hati daripada menyebarkan sesuatu yang belum dipastikan kesahihannya.
“Sentiasalah waspada terhadap maklumat palsu dan mengelirukan,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) tahun ini, ketika mengulas peranan penting media sosial dalam penyebaran maklumat kepada umum.
Ch’ng menegaskan bahawa media sosial kini menjadi alat komunikasi yang tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan moden, malah amat berkesan dalam membentuk pandangan masyarakat.
“Ia telah mengubah cara kita berkomunikasi dan berkongsi pendapat – dan jelas kini menjadi sebahagian penting dalam kehidupan seharian,” tambah beliau.






