KOTA KINABALU: Kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital terbukti mempertingkatkan kecekapan dalam pencegahan rasuah, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Bercakap ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Teknologi, Pengurusan dan Kelestarian (ICTMS 2025) di UiTM Cawangan Kota Kinabalu hari ini, beliau berkata penggunaan teknologi kini mempercepatkan siasatan, malah beberapa kes dapat diselesaikan dalam tempoh tiga hingga enam bulan berbanding masa lebih lama sebelum ini.
“SPRM telah menggunakan teknologi secara meluas dan terus membangunkan sistem untuk menjadikan penguatkuasaan lebih efisien dan berimpak tinggi,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa walaupun teknologi membawa banyak manfaat, ia juga boleh disalah guna jika tiada integriti dalam pengurusan.
“Jika sistem itu dikendalikan oleh individu yang tidak berakauntabiliti, ia tetap membuka ruang kepada penipuan dan penyalahgunaan kuasa,” tegas beliau.
Azam turut merujuk amaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNODC) dan INTERPOL mengenai peningkatan jenayah siber di Asia Tenggara, termasuk eksploitasi platform digital dan dompet maya oleh sindiket yang menggunakan identiti palsu serta dokumen dijana AI.
“Pada 2023 sahaja, lebih RM330 juta dilaporkan hilang akibat penipuan digital, satu lonjakan 25 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya.
Beliau juga menyebut kejayaan SPRM dalam operasi Op Tropicana yang membongkar sindiket pelaburan rentas negara.
Persidangan anjuran Institut Penyelidikan Perakaunan (ARI), UiTM dengan kerjasama SPRM itu turut dihadiri ahli akademik, wakil industri dan pegawai penguat kuasa dari seluruh negara.






