Moyog Perlu Kepimpinan Baharu, GRS Wadah Terbaik Sabah – Khairul

Moyog Perlu Kepimpinan Baharu, GRS Wadah Terbaik Sabah – Khairul

0
SHARE

PENAMPANG: Ahli Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan menegaskan keperluan perubahan generasi dalam kepimpinan Sabah, khususnya di Moyog yang disifatkan mempunyai potensi besar untuk transformasi.

“Sabah mahukan perubahan sebenar. Beri peluang kepada pemimpin muda yang berfikir kritikal, ikhlas berkhidmat, dan tidak menipu rakyat. 

“Kita sudah terlalu lama diperdaya,” katanya dalam Mesyuarat Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah Bahagian Moyog pada Ahad.

Beliau memuji Datuk John Ambrose kerana memberi laluan kepada pemimpin muda, Datuk Ceasar Mandela Malakun, sebagai tanda kepercayaan terhadap bakat baharu.

“Kalau pemimpin berpengalaman seperti John boleh menyerahkan baton, pemimpin lain juga harus berfikir semula. Perubahan mesti bermula dari dalam,” katanya.

Khairul turut mengakui penerimaan GRS berbeza mengikut kawasan, namun percaya GRS di bawah Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor membawa formula politik terbaik dengan terbuka, inklusif dan berani menerima kritikan.

“Saat ini paling sesuai rakyat beri mandat kukuh kepada GRS. Kita tidak boleh hanya jadi penonton,” ujarnya.

Sementara itu, Mandela menyatakan kesediaan untuk menjadikan Moyog kubu kuat Gagasan Rakyat menjelang PRN akan datang.

“Kita bukan parti bermusim, tapi sentiasa bersama rakyat. Sabah mesti ditentukan oleh orang Sabah. Inilah sebabnya parti tempatan seperti Gagasan penting,” katanya.

Beliau turut menegaskan kejayaan GRS seperti kenaikan geran khas persekutuan daripada RM26.7 juta kepada RM600 juta, pemulangan kuasa dalam pelantikan kehakiman, pelancongan dan air, serta bantuan pendidikan, peluang kerja, infrastruktur luar bandar dan rumah mampu milik SMJ.

“Gagasan Moyog sudah bersedia. Mari kita pertahankan tanah tumpah darah kita,” tegas Mandela.