KOTA KINABALU: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) menggesa Universiti Malaysia Sabah (UMS) membuang kesemua pelajar yang terlibat dalam demonstrasi Gempur Rasuah 2.0 anjuran Suara Mahasiswa UMS hujung minggu lalu kerana didakwa mencemarkan nama baik universiti berkenaan.
Pengerusi G57, Datuk Zulkarnain Mahdar dalam satu kenyataan turut menyeru agar Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Md Mansur meletak jawatan secara terhormat, sebagai mengambil tanggungjawab terhadap insiden membakar potret Perdana Menteri dan kesesakan lalu lintas teruk yang berlaku di tengah bandaraya semasa demonstrasi tersebut.
“UMS hanya membuat laporan polis selepas kejadian, sedangkan tindakan pencegahan sepatutnya diambil lebih awal oleh Naib Canselor atau wakil universiti,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut G57, pihak mereka telah beberapa kali membantah perhimpunan tersebut kerana menjangkakan kekacauan, lebih-lebih lagi apabila pemimpin dan ahli Parti Warisan Sabah didakwa membantu secara langsung.
“Budaya ganas ini tidak boleh diterima di Sabah. Sebagai pengajaran, Naib Canselor wajar meletak jawatan dan pelajar-pelajar terlibat patut digantung dan disingkirkan.
“Walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta agar pelajar tidak dibuang, G57 menegaskan undang-undang perlu ditegakkan. Tindakan biadab seperti itu akan berulang dengan alasan kononnya mendapat restu PMX.
“Insiden seperti ini mungkin sudah menjadi kebiasaan di Semenanjung, tetapi tidak di Sabah,” ujar Zulkarnain.
G57 turut menyindir dengan mencadangkan agar pelajar-pelajar yang disingkirkan memohon pekerjaan di pejabat Parti Warisan Sabah, kerana yakin parti itu mampu “mendidik mereka menjadi insan yang baik” dengan bimbingan kepimpinan sedia ada.






