Lelaki Maut, Seorang Lagi Parah D-Max Rempuh Belakang Lori di Sandakan

Lelaki Maut, Seorang Lagi Parah D-Max Rempuh Belakang Lori di Sandakan

0
SHARE

SANDAKAN: Seorang lelaki maut manakala rakannya cedera parah selepas kenderaan jenis Isuzu D-Max yang mereka naiki merempuh belakang sebuah lori di Batu 25, berhampiran Ladang Sakilan, malam Isnin.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.25 malam.

Sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan dikejarkan ke lokasi sejauh 34 kilometer dan tiba di lokasi pada jam 9.02 malam.

Menurut pegawai jurucakap agensi terbabit, kemalangan menyebabkan kedua-dua mangsa lelaki tersepit dalam kenderaan.

Pasukan bomba bertindak mengeluarkan kedua-dua mangsa sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.

“Mohd Haikal Jatimin, 21, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah, manakala Hasbir Baso, 30, mengalami kecederaan serius di bahagian kepala.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.30 malam selepas pemeriksaan lanjut dilakukan bagi memastikan tiada risiko bahaya lain di lokasi kejadian,” katanya.