KOTA KINABALU: Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Ghazali Hajiji hari ini mengesahkan telah membuat laporan polis berhubung satu hantaran fitnah di platform TikTok yang mengaitkan Datuk Armizan Mohd Ali dengan insiden tragis melibatkan seorang pelajar di Sekolah Menengah Agama Tun Datu Mustafa.
Dalam kenyataan rasmi hari ini, Ghazali menegaskan bahawa tindakan tersebut dilakukan bagi memastikan fitnah dan tohmahan tidak terus berleluasa, khususnya di saat keluarga mangsa sedang menghadapi kesedihan yang amat mendalam.
“Saya ingin menegaskan bahawa media sosial bukan medan untuk menyebarkan fitnah atau mencetuskan persepsi buruk terhadap mana-mana pihak. Sikap tidak bertanggungjawab ini hanya akan menggugat keharmonian masyarakat,” katanya.
Hantaran yang dimuat naik oleh pengguna TikTok bernama @saka\_merah7 disifatkan sebagai berniat jahat dan tidak berasas apabila cuba mengheret nama Menteri ke dalam isu yang langsung tiada kaitan.
Ghazali turut menyeru agar masyarakat menghentikan eksploitasi insiden menyayat hati ini demi kepentingan politik murahan.
Katanya, perbuatan menangguk di air keruh sewajarnya dikutuk kerana ia bukan sahaja mencemarkan maruah individu, malah mengganggu proses keadilan dan ketenteraman awam.
“Politik di Sabah semakin matang. Kita tidak perlu turun ke tahap serendah ini. Hormatilah kesedihan keluarga, hormatilah maruah manusia,” ujarnya.
Beliau berharap agar pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dapat mengambil tindakan segera terhadap pemilik akaun tersebut bagi memastikan mesej kebencian dan fitnah tidak terus berleluasa di ruang digital.
“Cukup-cukuplah. Kita lebih baik daripada ini,” tegasnya lagi.






