RMK13 Perkukuh Desa, Sabah Jadi Tumpuan Pembangunan Strategik – Zahid

RMK13 Perkukuh Desa, Sabah Jadi Tumpuan Pembangunan Strategik – Zahid

0
SHARE

LAHAD DATU: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) akan menjadi pemacu utama kepada pembangunan wilayah luar bandar, termasuk Sabah, selaras dengan prinsip Malaysia MADANI dan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Menurutnya, kerajaan memperuntukkan RM430 bilion bagi tempoh lima tahun, dengan RM227 bilion untuk sektor ekonomi dan RM133 bilion bagi sektor sosial merangkumi pendidikan, kesihatan dan kebajikan rakyat.

“Sabah diberi perhatian khusus melalui inisiatif seperti pembangunan Hab Ekonomi Biru, peningkatan kapasiti pelabuhan, mitigasi banjir Sungai Likas serta menjadikan negeri ini sebagai pusat pengeluaran makanan negara,” katanya ketika merasmikan Program Sentuhan Kasih Desa MADANI anjuran KEMAS Sabah di Lahad Datu.

Zahid berkata, RMK13 turut memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak melalui 42 inisiatif baharu oleh KKDW termasuk Pra-Tahfiz, TVET, Smart Classroom dan Tabika Tunas Istimewa.

Beliau menekankan bahawa pembangunan pendidikan prasekolah kini menjadi keutamaan, termasuk mewajibkan pendidikan lima tahun, memperluas Bahasa Inggeris dan aliran STEM, serta penekanan terhadap TVET sebagai laluan kerjaya.

“Pendidikan hari ini adalah asas negara esok. Kita perlu bina kekuatan bangsa dari akar paling awal,” ujarnya.

Zahid turut menyeru semua pihak agar bersama memacu pembangunan luar bandar demi masa depan generasi akan datang, sambil menegaskan komitmennya terhadap amanah rakyat Sabah dan melihat negeri itu sebagai rakan strategik pembangunan negara.