Dua Lelaki Ditahan, Miliki Pil Ekstasi dan Syabu di Lahad Datu

Dua Lelaki Ditahan, Miliki Pil Ekstasi dan Syabu di Lahad Datu

0
SHARE

LAHAD DATU: Dua lelaki ditahan dalam operasi bersepadu Op Tapis yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu semalam dan awal pagi tadi.

Dalam serbuan berasingan di kawasan parkir kereta Lorong Reno Fajar 4, Palm City serta di Kampung Puyut, polis berjaya merampas pil disyaki ekstasi seberat 2.10 gram dan satu paket kecil syabu seberat 0.20 gram.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM270.

Menurut kenyataan pihak polis, kedua-dua suspek yang berusia 35 dan 58 tahun kini ditahan untuk siasatan lanjut.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati salah seorang suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara jika sabit kesalahan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata, operasi ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan pihak polis dalam membanteras gejala penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah ini.

“Polis IPD Lahad Datu komited dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara daripada ancaman dadah,” katanya.

Orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran atau penyalahgunaan dadah kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras jenayah ini secara bersama.