Lelaki Maut, Motosikal Ditunggang Jatuh Dalam Parit Sedalam 15 Kaki

Lelaki Maut, Motosikal Ditunggang Jatuh Dalam Parit Sedalam 15 Kaki

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 19 tahun maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas lalu terjatuh ke dalam sebuah parit sedalam 15 kaki berhampiran Hotel 05, Jalan Pintasan Penampang, awal pagi tadi.

Menurut Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, PBK II Norejan Jamlin, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 2.50 pagi sebelum tiba di lokasi lima minit kemudian.

“Sebaik tiba, pasukan operasi mendapati seorang mangsa lelaki berada di dalam parit dalam keadaan tidak sedarkan diri. Operasi menyelamat dilakukan menggunakan peralatan junkin stretcher untuk mengangkat mangsa dari dasar parit,” katanya.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang hadir bersama tiga anggota.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Operasi yang melibatkan sembilan anggota bomba bersama satu jentera FRT dan satu unit EMRS tamat sepenuhnya pada jam 3.19 pagi.

Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati ketika menunggang terutamanya pada waktu malam atau awal pagi, terutamanya di kawasan berisiko.