TONGOD: Kekerapan pertukaran kerajaan negeri disifatkan sebagai punca utama kemunduran Sabah dan kegagalan pelbagai program pembangunan yang dirancang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, berkata ketidakstabilan politik akibat kerajaan silih berganti menyebabkan perancangan jangka panjang sukar untuk dilaksanakan.
“Bayangkan pelan lima tahun tergendala bila kerajaan bertukar. Ketua Menteri bertukar, pegawai kanan kerajaan ditukar, dasar baharu pula diperkenalkan. Belum sempat pembangunan diteruskan, kerajaan bertukar lagi,” katanya ketika menyampaikan Majlis Amanat ADUN Kuamut 2025 di Dataran Terbuka Tongod, semalam.
Masiung berkata, sudah tiba masanya rakyat Sabah mencontohi rakyat Sarawak yang mengekalkan kestabilan politik demi kemajuan negeri.
“Dulu Sabah lebih maju dari Sarawak. Tapi mereka utamakan kestabilan. Mereka tidak tukar kerajaan setiap kali pilihan raya. Hasilnya, mereka ke depan,” katanya.
Sabah mencatatkan 16 Ketua Menteri dalam tempoh 60 tahun, manakala Sarawak hanya enam. Pertukaran di Sarawak hanya berlaku selepas tamat tempoh atau kematian, namun kerajaan tetap dipimpin oleh satu gabungan yang sama.
Masiung turut menjadikan Projek Lebuhraya Pan Borneo sebagai contoh. Walaupun peruntukan diberikan serentak kepada Sabah dan Sarawak, hanya Sarawak berjaya menyiapkan keseluruhan projek, sedangkan Sabah masih ketinggalan akibat polisi yang berubah-ubah.
Tambah beliau, tindakan rakyat yang sering menukar kerajaan tidak merugikan pemimpin atau wakil rakyat kerana mereka tetap menerima gaji.
“Tapi rakyat yang terpengaruh dengan media sosial tidak berdaftar inilah yang akhirnya rugi besar,” katanya.






