Motor Blower Terbakar, Bomba Kawal Kebakaran Kilang Makanan di KKIP Dalam Masa...

Motor Blower Terbakar, Bomba Kawal Kebakaran Kilang Makanan di KKIP Dalam Masa Singkat

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sebuah kebakaran melibatkan kilang makanan, E & G Food Ingredient di kawasan KKIP Timur awal pagi tadi berjaya dikawal sepenuhnya oleh pasukan bomba tanpa melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.

Menurut laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 8.02 pagi dan jentera pertama tiba di lokasi pada jam 8.25 pagi, kira-kira 16 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas.

Komander Operasi, PBK I Wilfred Sulai memaklumkan bahawa kebakaran berpunca daripada motor blower sistem pengudaraan yang terbakar sepenuhnya sebelum merebak ke rak penyimpanan barangan plastik dalam bangunan kilang.

“Anggaran keluasan yang terbakar adalah sekitar 13 peratus daripada keseluruhan bangunan.

“Tindakan pantas pekerja kilang menggunakan alat pemadam api jenis debu kering dan hos kilang berjaya memperlahankan kebakaran sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pasukan bomba kemudiannya melaksanakan pemadaman secara ‘offensive’ dengan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dan dua pancutan air, serta membuka ruang udara bagi mengeluarkan haba.

Sumber air diambil dari jentera bomba dan pili berhampiran.

Operasi dikawal pada jam 8.29 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.35 pagi selepas keadaan disahkan selamat.

Seramai 23 anggota terlibat dalam operasi ini yang melibatkan dua jentera FRT dari BBP Lintas dan Kota Kinabalu, satu EMRS, sebuah water tanker, serta sokongan agensi lain termasuk pihak polis.