KUALA LUMPUR: Stesen televisyen swasta, Awesome TV telah mengambil dengan memfailkan tindakan undang-undang terhadap tiga pelawak tanah air berikutan dakwaan yang dianggap menjejaskan reputasi syarikat.
Tiga pelawak terbabit ialah Amir Raja Lawak, Mamak Puteh, dan Abu Mamu yang didakwa membuat kenyataan berunsur fitnah berkaitan isu bayaran tertunggak menerusi media sosial masing-masing.
Dalam satu kenyataan rasmi, pihak Awesome TV menegaskan bahawa bayaran penglibatan artis dalam program berkaitan adalah tanggungjawab syarikat produksi luar dan bukannya tanggungjawab stesen televisyen itu sendiri.
“Dakwaan yang dilemparkan adalah tidak berasas dan telah memberi kesan negatif kepada imej Awesome TV. Oleh itu, tindakan undang-undang diambil bagi melindungi nama baik syarikat,” jelas kenyataan tersebut.
Sementara itu, pelawak Mamak Puteh atau nama sebenarnya Mohamad Ikhtiarudin Naina Mohamad, tampil menjelaskan bahawa beliau tidak mengetahui bahawa tuntutan bayaran perlu dibuat kepada pihak produksi luar, bukan kepada Awesome TV.
“Tiga tahun saya tunggu bayaran. Saya bersedia hadapi saman dan berbincang jika ada penyelesaian baik,” katanya seperti dipetik oleh mStar.
Difahamkan, ketiga-tiga pelawak berkenaan terlibat dalam sebuah program hiburan yang diterbitkan oleh produksi bebas dan disiarkan di Awesome TV sejak beberapa tahun lalu.






