Kerajaan Pertimbang Naikkan Cukai Tembakau

Kerajaan Pertimbang Naikkan Cukai Tembakau

0
SHARE

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedang cadangan untuk menaikkan kadar cukai tembakau sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap kesihatan awam dan pembaharuan fiskal.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata kadar cukai sedia ada telah lama tidak disemak sejak kali terakhir dinaikkan pada 2014, dan ketika ini menyumbang 58.6 peratus daripada harga runcit. 

Malaysia juga belum mempunyai mekanisme semakan berkala terhadap kadar tersebut.

“Saya sokong semangat untuk kekal sihat, bukan kerana saya tidak merokok sahaja, tetapi kerana kesan besar kempen anti-merokok,” katanya selepas sesi libat urus Belanjawan 2026 hari ini.

Memetik sumber Bernama, beliau mengulas cadangan supaya kadar cukai dinaikkan antara 60 hingga 75 peratus, yang dijangka akan dibincangkan dalam pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober ini.

Minggu lalu, ketika mengumumkan Rancangan Malaysia Ke-13, Anwar turut mengumumkan cukai “pro-kesihatan” akan diperluas merangkumi tembakau, vape dan alkohol, bukan hanya produk bergula.

Katanya, langkah itu bukan sahaja untuk menambah hasil negara, tetapi juga bertujuan menggalakkan perubahan tingkah laku dan mengurangkan penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, strok dan penyakit jantung.

Beliau turut menekankan tekanan berterusan terhadap sistem kesihatan awam akibat inflasi perubatan, penyakit berganda dan populasi yang semakin menua.