Kejohanan Futsal Tertutup Tuaran Himpun Lima Pasukan Terbaik, RBS Muncul Juara

Kejohanan Futsal Tertutup Tuaran Himpun Lima Pasukan Terbaik, RBS Muncul Juara

0
SHARE

TUARAN: Kejohanan Futsal Tertutup 5 Penjuru dianjurkan Ahli Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Cawangan Selupoh Hilir Tuaran di daerah ini berjaya menghimpunkan lima pasukan terbaik dan menjadikan RBS sebagai juara pada kali ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Jawatankuasa Pemuda Bahagian Tuaran, Calvin Ah King, yang mewakili Ketua Pemuda Sulaman, Mohammad Ghazali Hajiji.

Lima pasukan yang bertanding ialah RBS (Kg Simpangan), Selupoh FC (Kg Selupoh), Sudot FT (Kg Sudot), Double Jocker (Kg Termenong) dan BKI (Kg Indai).

Dengan 12 pemain setiap pasukan, kejohanan ini disertai lebih 60 pemain, selain sokongan padu penyokong yang membanjiri gelanggang.

Hasilnya, RBS (Kg Simpangan) dinobatkan sebagai juara, diikuti Selupoh FC (Kg Selupoh) selaku naib juara, manakala Sudot FT (Kg Sudot) meraih tempat ketiga.

Double Jocker (Kg Termenong) menamatkan saingan di tempat keempat, sementara BKI (Kg Indai) di tempat kelima.

Penganjuran kejohanan diketuai oleh Zainul Ariffin Badrul Hisam (Ketua Cawangan) dan Sharul Anaz Bin Noraji (Ketua Pemuda Cawangan) dengan sokongan penuh ahli Pemuda Cawangan Selupoh Hilir Tuaran.

“Bukan sekadar menang atau kalah, kejohanan ini membuktikan sukan mampu menyatukan kita semua. Insya-Allah, penganjuran akan diteruskan pada masa akan datang dengan penyertaan lebih ramai pasukan,” kata wakil penganjur.

Kejohanan melabuhkan tirai dengan majlis penyampaian hadiah dan sesi bergambar beramai-ramai, meninggalkan kenangan manis buat semua peserta dan penyokong yang hadir.