TYT Musa Aman Seru Rakyat Sabah Kekalkan Perpaduan, Tolak Fitnah di Media...

TYT Musa Aman Seru Rakyat Sabah Kekalkan Perpaduan, Tolak Fitnah di Media Sosial

0
SHARE

KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Dr. Musa Aman menyeru rakyat Sabah agar terus mempertahankan perpaduan, menolak fitnah serta tidak terpengaruh dengan kebencian yang semakin berleluasa di media sosial.

Dalam perutusan khas sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2025, beliau menekankan bahawa perpaduan dan keharmonian adalah sumbangan terbesar Sabah kepada Malaysia.

“Amat membimbangkan apabila kebencian semakin banyak tersebar di media sosial, di mana kandungan sering diambil di luar konteks dan dikongsi berulang kali sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat,” tegas beliau.

Tun Musa berkata, Sabah telah lama menjadi contoh cemerlang dalam memupuk perpaduan dalam kepelbagaian menerusi keharmonian antara pelbagai kaum dan etnik. Katanya, kepelbagaian budaya di negeri ini merupakan sumber kekuatan yang perlu dipelihara.

“Sabah sentiasa memainkan peranan penting dalam kejayaan negara. Kita mesti menolak seruan yang memecah-belahkan masyarakat,” katanya.

Beliau turut menyuarakan harapan agar jurang pembangunan antara Sabah dengan negeri-negeri lain dapat dirapatkan melalui dasar strategik serta pelaksanaan inisiatif sosioekonomi yang berkesan.

Dalam masa sama, Tun Musa mengingatkan perkhidmatan awam negeri supaya memastikan setiap projek dan program dilaksanakan dengan segera, tanpa halangan birokrasi yang tidak perlu.

“Keutamaan mesti diberikan kepada kepentingan rakyat,” katanya.

TYT menegaskan bahawa kestabilan politik Sabah adalah faktor penting untuk menarik pelaburan asing dan bakat baharu, yang akan merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.

“Sabah perlu terus stabil agar lebih banyak kemajuan dapat dicapai demi kesejahteraan rakyat,” jelasnya.

Mengakhiri perutusannya, beliau mengajak seluruh rakyat Sabah untuk memperbaharui tekad, bersatu padu dan bekerjasama demi kejayaan berterusan negeri dan negara.

“Saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2025 kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.