KOTA KINABALU: Pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) sepanjang hampir lima tahun lalu menjadi bukti keupayaan kerajaan negeri memulihkan ekonomi, memperkukuh pembangunan dan menjaga kesejahteraan rakyat biarpun berdepan pelbagai cabaran.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, mandat rakyat sejak September 2020 dimanfaatkan sepenuhnya dengan pelaksanaan agenda pembangunan menyeluruh, sekali gus menepis tanggapan bahawa SMJ hanya sekadar slogan tanpa tindakan.
“Segala janji dan perancangan menerusi agenda SMJ telah banyak kita laksanakan. Walaupun berdepan kata-kata sindiran dan tohmahan, kepimpinan kerajaan ini tetap teguh melaksanakan amanah yang diberikan rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Sabah 2025 di Padang Merdeka, di sini, Ahad.
Hajiji menjelaskan, ketika mengambil alih pentadbiran pada 2020, Sabah berdepan krisis ekonomi paling buruk dalam sejarah. Namun, perancangan teliti melalui dasar SMJ 1.0 berjaya memulihkan keadaan, sekali gus melonjakkan prestasi ekonomi ke tahap membanggakan.
“Sabah kini muncul sebagai negeri yang pesat membangun dengan sektor ekonomi semakin berkembang. Dari sebuah negeri yang bergantung kepada hasil bumi semata-mata, kita kini mengembangkan pelancongan, perladangan, perhutanan dan petroleum sebagai penyumbang utama ekonomi,” ujarnya.
Beliau menegaskan, kejayaan ini hasil usaha bersama kerajaan, rakyat serta sokongan sektor swasta yang tidak pernah berputus asa walaupun berdepan cabaran global.
Menurut Hajiji, dasar SMJ bukan sekadar dokumen, tetapi pelan strategik jangka panjang yang memberi tumpuan kepada pembangunan sumber manusia, pengurusan hasil bumi secara berkesan serta kecekapan pentadbiran.
Antara pencapaian signifikan ialah peningkatan pelaburan masuk, hasil negeri yang melonjak serta pengukuhan struktur pentadbiran. Malah, kerajaan negeri turut memperuntukkan lebih RM1.3 bilion dari 2021 hingga 2024 bagi sektor pendidikan dan pembangunan belia.
“Pelaburan ini adalah untuk memastikan generasi muda Sabah dilengkapi ilmu, kemahiran dan daya saing bagi menghadapi cabaran masa depan,” katanya.
Dalam konteks sambutan Hari Sabah, Hajiji menegaskan tarikh bersejarah itu menjadi bukti semangat rakyat negeri ini untuk meraih kebebasan daripada penjajah dan membina negeri yang berdaulat.
“Tema Hari Sabah tahun ini, Untukmu Sabah Tanah Airku, membawa maksud mendalam bahawa masa depan negeri ini terletak di tangan kita. Oleh itu, marilah kita berganding bahu memastikan Sabah terus maju, makmur serta rakyat hidup bersatu padu,” katanya.
Beliau turut menyeru generasi muda memahami erti kemerdekaan, menghargai pengorbanan pejuang terdahulu dan bersedia memikul tanggungjawab sebagai pewaris negeri.
Hajiji mengajak rakyat Sabah mempertahankan keharmonian serta keamanan yang dinikmati sejak sekian lama, sambil bersama-sama membina negeri yang lebih inklusif.
“Saya mengajak rakyat Sabah untuk terus bersatu dalam menempuh segala cabaran membina Sabah Maju Jaya dari segi ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Keharmonian dan keamanan yang kita kecapi perlu terus dipelihara demi generasi akan datang,” katanya.
Majlis sambutan itu disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Musa Haji Aman yang turut diiringi isteri, Toh Puan Datin Seri Panglima Hajah Faridah Haji Tussin serta kepimpinan tertinggi negeri.






