Semua Peguam Dibenarkan Jadi Pihak Berkepentingan dalam Prosiding Inkues Zara

Semua Peguam Dibenarkan Jadi Pihak Berkepentingan dalam Prosiding Inkues Zara

0
SHARE
Shahlan (empat dari kiri). Pasukan peguam keluarga Zara...

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini memutuskan untuk membenarkan semua pihak termasuk peguam bela lima pesalah kanak-kanak menjadi pihak berkepentingan dalam prosiding inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Peguam kepada ibu arwah, Shahlan Jufri berkata, pihaknya sebelum ini membantah penyertaan peguam bela kanak-kanak terbabit, namun bantahan itu ditolak oleh Koroner Amir Shah Amir Hassan.

“Sebelah pagi tadi, semua pemohon telah mengemukakan permohonan masing-masing. Pihak kami dibenarkan, peguam kepada bapa arwah juga dibenarkan, dan peguam bela pesalah kanak-kanak turut dibenarkan menjadi pihak berkepentingan. 

“Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) pula hadir sebagai pemerhati. Kami ada membantah, tetapi bantahan ditolak dan kami menghormati keputusan mahkamah,” katanya di luar mahkamah.

Lima pesalah kanak-kanak itu diwakili oleh barisan peguam termasuk Datuk Ram Singh, Joan Goh, Prem Elmer Ganasan, Azhier Farhan Arisin dan Abdul Fikry Jaafar Abdullah.

Manakala Noraidah Lamat, ibu arwah, diwakili oleh Shahlan bersama pasukannya iaitu Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser.

Bapa arwah, Mahathir Hashim Marikin, pula diwakili oleh peguam Sherzali Asli, Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip dan Clarice Vyonne Conrad.

Shahlan berkata prosiding pada jam 2 petang ini dimulakan dengan keterangan saksi pertama daripada pasukan forensik.

“Jumlah saksi yang disenaraikan setakat ini adalah 68 orang, melibatkan pasukan forensik, Jabatan Patologi, polis, pelajar sekolah, pegawai keselamatan serta guru dan warden. Senarai ini masih boleh bertambah,” jelasnya.

Beliau turut mengesahkan bahawa ibu arwah, Noraidah Lamat, juga termasuk dalam senarai saksi, namun tarikh keterangan belum ditentukan.

Setakat ini katanya, tiada sebarang perintah larangan kepada media untuk membuat liputan prosiding inkues dikeluarkan oleh mahkamah.

“Namun, jika saksi kanak-kanak dipanggil memberi keterangan, prosiding akan dijalankan secara tertutup (in camera) bagi melindungi identiti dan keselamatan mereka,” kata Shahlan.