KOTA KINABALU: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Hajiji Noor, sah bergelar Ketua Menteri Sabah baharu selepas mengangkat sumpah pada jam 10.32 pagi, hari ini.
Beliau yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, di Istana Negeri, di sini.
Pada majlis yang sama, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin turut mengangkat sumpah sebagai Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah.
Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffry Kitingan, menyandang jawatan dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Dua serta jawatan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah.
Timbalan Ketua Menteri Tiga dipegang Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr Joachim Gunsalam selain dilantik sebagai Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan yang juga Timbalan Ketua Bersatu Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, dilantik sebagai Menteri Kerja Raya Sabah (Menteri Kanan).
ADUN Tamparuli, Datuk Jahid Jahim, pula memegang portfolio Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah (Menteri Kanan).
Sementara itu, bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman mengucapkan tahniah atas pelantikan Datuk Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah baharu hari ini.
Musa dalam satu kenyataan hari ini berkata, pelantikan Hajiji sebagai Ketua Menteri amat tepat berikutan Hajiji pernah berkhidmat ketika beliau menerajui kerajaan negeri sebagai Ketua Menteri Sabah sebelum ini.
“Saya sudah lama mengenali Hajiji dan beliau sudah lama berkhidmat sebagai menteri dalam kabinet semasa saya masih seorang Ketua Menteri.
“Beliau sentiasa memberi komitmen penuh dan profesional terhadap tanggungjawabnya ketika itu. Walaupun Hajiji adalah seorang individu yang penyayang namun pada masa yang sama beliau adalah pemimpin yang tegas, dapat membuat keputusan tanpa rasa takut mahupun pilih kasih.
“Saya yakin dengan kebijaksanaan dan pengalamannya. Beliau mempunyai kapasiti untuk memimpin Sabah, membawa kebangkitan ekonomi yang sangat diperlukan untuk rakyat dan pembangunan negeri ini di masa depan,” katanya.
Hajiji mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri selepas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) semalam telah sebulat suara menamakannya sebagai calon Ketua Menteri Sabah yang baharu.
Terdahulu, GRS yang dianggotai PN, BN dan PBS memperoleh majoriti mudah untuk mengambil alih tampuk kepimpinan kerajaan negeri daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN) pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 Sabtu lalu apabila memperoleh 38 daripada keseluruhan 73 kerusi DUN negeri ini.