Pemuda UPKO Sokong Guna Logo Parti Dalam PRN Bagi Perkukuh Identiti 

Pemuda UPKO Sokong Guna Logo Parti Dalam PRN Bagi Perkukuh Identiti 

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyokong penuh seruan akar umbi di semua Bahagian UPKO untuk menggunakan logo sendiri dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) sebagai strategi memperkukuh identiti parti di Sabah.

Setiausaha Pemuda UPKO Nasional, Rexie Gubat berkata, keputusan menyokong seruan akar umbi itu selaras dengan aspirasi rakyat Sabah masa kini.

“UPKO adalah satu-satunya parti tempatan dalam Pakatan Harapan (PH), maka penggunaan logo sendiri adalah langkah yang baik dan pratikal untuk memperkukuh keyakinan rakyat bahawa perjuangan kami berpaksikan Sabah.

“Penggunaan logo sendiri juga memberi fleksibiliti politik kepada UPKO untuk bersuara lantang mengenai isu-isu hak negeri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Rexie berkata, disebalik pendekatan itu, UPKO masih mengekalkan kerjasama strategik dengan rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Selain itu, katanya, dari sudut strategi komunikasi dan pemasaran politik, penggunaan logo sendiri akan memperkukuhkan jenama UPKO di hati rakyat Sabah.

“Penggunaan logo UPKO tidak mengelirukan kerana parti ini sememangnya dikenali dan semakin diyakini.

“Logo adalah identiti, dan identiti itu membawa mesej. Dengan logo UPKO, rakyat tahu bahawa inilah parti tempatan yang membela mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun di Parlimen.

“Kita mahu pastikan suara Sabah terus didengar dan dihormati,” tambah beliau.