SLS Sambut Baik Keputusan Asingkan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya

SLS Sambut Baik Keputusan Asingkan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sabah Law Society (SLS) menyambut baik keputusan bersejarah Jemaah Menteri pada 10 September untuk mengasingkan sepenuhnya jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Presidennya, Datuk Mohd Nazim Maduarin berkata, langkah yang sekian lama dinantikan itu penting bagi memperkukuh kedaulatan undang-undang, tadbir urus baik serta keyakinan awam terhadap sistem keadilan negara.

“Penubuhan Pendakwa Raya yang bebas dan berperlembagaan akan memastikan pendakwaan jenayah dijalankan secara adil, telus dan tanpa pengaruh eksekutif,” katanya.

Beliau menegaskan SLS bersedia menyumbang secara konstruktif dalam pelaksanaan reformasi itu.

SLS juga menekankan perlunya pindaan Perlembagaan, penggubalan Akta Pendakwa Raya baharu serta pindaan Kanun Tatacara Jenayah, dan menggesa agar perbincangan inklusif diadakan dengan ketiga-tiga Badan Peguam di Malaysia, masyarakat sivil serta pihak berkepentingan.

Sementara itu, Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata keputusan dibuat selepas pembentangan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berdasarkan laporan Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif.

Pindaan Perlembagaan melibatkan Perkara 145, 183 dan 42, di samping penggubalan Rang Undang-Undang Pembaharuan Undang-Undang (Pendakwa Raya) yang turut meminda Kanun Tatacara Jenayah serta 18 akta berkaitan.

Reformasi ini turut dilihat sebagai usaha mengembalikan keyakinan rakyat terhadap integriti institusi pendakwaan, sekali gus menutup ruang kepada sebarang campur tangan politik dalam proses perundangan.

Ia juga diharap dapat memperkukuh kedudukan Malaysia dalam penarafan antarabangsa berkaitan ketelusan dan tadbir urus.

Nazim menegaskan pemisahan tersebut bukan semata-mata perubahan struktur, tetapi lambang komitmen baharu terhadap keadilan, perlindungan hak asasi dan pengukuhan institusi demokrasi.

“Keadilan bukan sahaja mesti dilaksanakan, tetapi juga mesti dilihat dilaksanakan,” katanya.