KOTA KINABALU: Susulan pengisytiharan bencana banjir di daerah Membakut dan Papar pagi Isnin, dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka bagi menempatkan penduduk yang terjejas.
Di Membakut, Pegawai Daerah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), Ibrahim Terki, mengumumkan pembukaan PPS Dewan Masyarakat Bongawan pada jam 8.22 pagi hari ini.
Beliau berkata, keputusan itu diambil selepas pemeriksaan mendapati beberapa kawasan serta rumah penduduk tidak lagi selamat untuk didiami akibat banjir.
Sementara itu di Papar, Pegawai Daerah, Muhammad Mohd Ali, yang juga Pengerusi JPBD, mengisytiharkan PPS Dewan Masyarakat Papar dibuka bermula jam 10.00 pagi tadi.
Pembukaan kedua-dua PPS ini adalah hasil cadangan Jawatankuasa Bencana Daerah masing-masing bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan terjejas.
Dengan pengaktifan PPS tersebut, mangsa banjir di Membakut dan Papar kini ditempatkan di lokasi berkenaan sementara operasi pemantauan dan bantuan terus digerakkan oleh agensi-agensi penyelamat dan pihak berkuasa tempatan.






