KOTA KINABALU, SABAH – Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) memasang 47 penyejuk mudah alih di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) sebagai langkah penyejukan sementara selepas tiga penghawa dingin utamanya (chiller) rosak minggu lalu.
Dalam lawatan pada Ahad lepas, Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin berkata sejak tahun lepas, KKIA dikekalkan pada suhu selesa dengan dua penyejuk yang berfungsi.
“Namun, memandangkan salah satu daripada dua penyejuk yang tinggal telah rosak, seluruh lapangan terbang semakin panas dengan kedatangan semula pengembara.
“Kerja-kerja pembaikan penyejuk itu dijangka siap minggu depan mengikut maklumat yang dikongsi Pengurus Kanan LTAKK Jeffrey Ramli.
“Walaupun hal ehwal lapangan terbang bukan di bawah portfolio pertanian saya, namun saya amat prihatin dengan keadaan lapangan terbang yang terletak bersebelahan kawasan pilihan raya saya,” katanya.
Chan berkata demikian dalam satu catatan yang dimuat naik dalam Facebook, semalam.
Beliau berkata semasa pandemik, dua penyejuk itu sudah mencukupi berikutan kadar penumpang yang rendah menyebabkan kerja-kerja pembaikan melibatkan pembelian alat ganti ditangguhkan.
“Saya amat berharap kejadian sebegini tidak berulang selepas pembaikan keempat-empat penyejuk utama itu.
“Adalah penting untuk mengekalkan perkhidmatan lapangan terbang kita untuk memberikan gambaran pertama yang baik tentang Kota Kinabalu kepada pengembara,” katanya.





