Cat Farish Perkenal Alter Ego ‘Si Penghulu’ Menerusi Single Terbaru Jandanyer Yeah...

Cat Farish Perkenal Alter Ego ‘Si Penghulu’ Menerusi Single Terbaru Jandanyer Yeah Yeah

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan ikon hip hop tanah air, Cat Farish, kini tampil dengan sisi baharu apabila memperkenalkan alter ego dikenali sebagai “Si Penghulu” menerusi single sulung berjudul Jandanyer Yeah Yeah.

Lagu yang menggabungkan elemen hip hop, afrobeat serta loghat dan budaya rakyat Perak ini diterbitkan dan diedarkan oleh Luncai Emas Sdn. Bhd., dengan rakaman dijalankan di Platinum Studio, Damansara Perdana. Karya ini turut mendapat sentuhan penulisan lirik daripada Cat Farish sendiri bersama Illegal.

Menurut Cat Farish, Jandanyer Yeah Yeah bukan sekadar hiburan semata-mata, sebaliknya menjadi penghormatan kepada wanita bergelar janda yang bangkit penuh keyakinan selepas melalui perpisahan.

“Lagu ni untuk beri semangat pada janda-janda kat luar sana. Yang bangkit, bersiap, dan buat lelaki menyesal tinggalkan dia,” ujar beliau.

Watak “Si Penghulu” pertama kali muncul ketika kolaborasi lagu Ok ciptaan Malique, sebelum dikembangkan menjadi medium untuk Cat Farish menyalurkan karya hip hop dengan identiti tempatan.

Dengan gaya moden rakyat berloghat Perak, watak ini memberi wajah segar kepada muzik hip hop berunsur budaya rakyat.

Beliau turut berkongsi bahawa inspirasi besar di sebalik pembikinan lagu ini datang daripada isterinya, Shikin Maembong, yang sentiasa memberi sokongan sepanjang perjalanan kreatifnya.

Walaupun proses rakaman baharu sahaja disiapkan, Cat Farish menjelaskan idea lagu ini telah mengambil masa lebih dua tahun untuk dimuktamadkan.

“Lagu dah ada lama, tapi lirik dan penyampaian tu yang ambil masa nak ‘kena’,” katanya.

Single Jandanyer Yeah Yeah bakal dilancarkan pada 22 Ogos 2025 di semua platform digital rasmi serta YouTube Luncai Emas. Kehadiran Si Penghulu dijangka membawa nafas baharu kepada genre hip hop rakyat urban dan menambah warna dalam industri muzik tanah air.