
KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) sudah mempersembahkan permohonan menangguhkan pertemuan bersama Yang di-Pertuan Agong yang dijadualkan berlangsung di Istana Negara pada jam 10 pagi hari ini, kata Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon.
Permohonan penangguhan itu selepas beberapa mesyuarat BN malam tadi kekal dengan pendirian tidak menyokong sama ada Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH).
Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon memberitahu, dua mesyuarat malam tadi sepakat memohon penangguhan menghadap Yang di-Pertuan Agong.
“Kita mengekalkan keputusan pagi tadi untuk kita tidak memihak kepada sesiapa. Masih kekal pendirian kita seperti pagi tadi. Kita tak memberi sokongan mana-mana PH atau PN untuk membentuk kerajaan…
“Jadi kita terpulanglah kepada Presiden atau Pengerusi BN untuk memaklumkan kepada Tuanku,” katanya.
Ia susulan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan 30 Ahli Parlimen BN untuk mengadap Seri Paduka di Istana Negara, pagi ini.