Mayat Warga Pakistan Dipercayai Dibunuh Ditemui Ditimbus di Keningau

Mayat Warga Pakistan Dipercayai Dibunuh Ditemui Ditimbus di Keningau

0
SHARE

KENINGAU: Seorang lelaki warga Pakistan dipercayai dibunuh sebelum mayatnya ditanam di kawasan berhampiran Kampung Kitung, Jalan Keningau.

Ketua Polis Daerah Keningau, Supritendan Yampil Anak Garai berkata, mangsa dikenali sebagai Abdul Hafiz, 30, yang bekerja sebagai peniaga di daerah ini.

Beliau menjelaskan, pihak polis menerima laporan pada 22 September lalu sekitar jam 2.05 petang daripada rakan mangsa yang memaklumkan gagal menghubungi Abdul Hafiz sejak 20 September.

Menurut pengadu, kali terakhir dia berhubung dengan mangsa adalah di kedainya di pekan Keningau pada jam 5.12 petang hari kejadian.

Berikutan laporan itu, pengadu bersama beberapa individu lain menjalankan pencarian di lokasi berhampiran dan menemui barangan dipercayai milik mangsa, termasuk pakaian serta motosikalnya. 

Pihak polis juga menjumpai sebilah parang dalam guni putih selain timbunan tanah baharu yang mencurigakan.

“Pemeriksaan mendapati semua barangan itu terletak berhampiran sebuah rumah pekerja ladang getah, kira-kira 100 meter dari lokasi timbunan tanah,” kata Yampil.

Susulan itu, pada 23 September kira-kira jam 6.25 petang, pasukan Forensik D10 JSJ IPK Sabah melakukan penggalian di kawasan tersebut dan menemui satu mayat lelaki dipercayai mangsa.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan luka di bahagian belakang kepala serta di telinga kanan. Mangsa dijumpai dalam keadaan berpakaian lengkap serta berkasut,” katanya.

Mayat kemudian dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Keningau sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, untuk proses bedah siasat pada jam 10 pagi tadi.